suria

Terbuka Switzerland: Daren Dan Tiga Beregu Negara Mara Ke Suku Akhir

KUALA LUMPUR: Pemain perseorangan negara Liew Daren dan tiga beregu negara termasuk beregu campuran layak ke suku akhir Kejohanan Badminton Terbuka Switzerland apabila melepasi pusingan ketiga di Basel, awal Jumaat.

Daren, 25, bagaimanapun dikejutkan oleh pemain Portugal Martin Pedro 19-21 pada set pembukaan sebelum pemain negara itu bangkit semula untuk menjinakkan lawannya 21-13, 21-10 pada pertarungan selama 61 minit.

Daren bakal berentap dengan pemain nombor lima dunia, Chen Jin dari China, pada perlawanan suku akhir esok.

Dalam pada itu, beregu lelaki negara Goh V Shem/Teo Kok Siang melakukan kejutan besar apabila menyingkirkan pilihan utama Chai Biao/Guo Zhendong dari China dalam 'straight' set 21-17, 21-18.

Beregu negara itu akan bertembung dengan pasangan Indonesia, Alvent Yulianto Chandra/Hendra Aprida Gunawan pada saingan suku akhir.

Sementara, beregu wanita negara Chin Eei Hui/Wong Pei Tty turut melangkah ke pusingan suku akhir selepas menerima tentangan sengit pada set penentuan menentang gandingan Thailand, Duanganong Aroonkesorn/Kunchala Voravichitchaikul.

Chin/Wong menang set pertama 21-10 sebelum beregu Thailand itu menyamakan kedudukan dengan kemenangan 21-10 pada set kedua.

Beregu negara itu terpaksa bekerja keras untuk mengumpul setiap mata sebelum menang 23-21 pada set penentuan.

Pada suku akhir, beregu negara itu akan berdepan dengan Christinna Pedersen/Kamilla Rytter Juhl dari Denmark.

Beregu campuran negara, Chan Peng Soon/Goh Liu Ying hanya mengambil masa 33 minit untuk menampah tiket ke suku akhir apabila menundukkan pasangan Russia Peter Kaesbauer/Johanna Goliszewski 21-16, 24-22.

Chan dan Goh, yang menghuni ranking kesembilan dunia, akan berdepan dengan pilihan utama kejohanan, Tontowi hmad/Liliyana Natsir dari Indonesia.

Bagaimanapun, nasib tidak menyebelahi satu lagi beregu wanita negara apabila Ng Hui Ern/Ng Hui Lin disingkirkan oleh beregu Korea Selatan, Ha Jung Ea/Kim Min Jung, 4-21, 10-21 dalam masa 22 minit. - BERNAMA

Artikel Lain