suria

KL Muncul Juara Keseluruhan Kejohanan Boling Antara Negeri Ke-25

PETALING JAYA: Kuala Lumpur dinobat sebagai juara keseluruhan pada Kejohanan Boling Antara Negeri ke-25 yang berlangsung di Sunway Megalanes, Bandar Sunway di sini.

Pasukan itu mengutip lima pingat emas, dua perak dan tiga gangsa untuk menjuarai kejohanan ini buat kali kedua selepas melakukannya pada 1980.

Pengurus pasukan Kuala Lumpur Steven Teng menyifatkan kejayaan itu sebagai luar biasa kerana mereka tidak menyasarkan meraih kejuaraan keseluruhan selepas kali terakhir melakukannya pada 1990.

"Kejayaan ini merupakan satu perkara yang kita tidak sangka sama sekali kerana kita kehilangan beberapa pemain senior kita seperti Wendy Chai, Hee Kar Yan (yang menyertai kejohanan di luar negara) serta Yusof Abdul Rauf (yang menduduki peperiksaan di Universiti Teknologi Mara, Shah Alam).

"Saya ingin ucapkan berbanyak tahniah kepada pemain kita yang berjaya menampilkan persembahan cemerlang pada kejohanan kali ini," katanya kepada pemberita selepas berakhirnya kejohanan itu, yang bermula Selasa.

Naib Presiden Persatuan Tenpin Boling Kuala Lumpur itu turut memuji persembahan pemain pasukan Kuala Lumpur, yang rata-ratanya pelajar sekolah.

"Kebanyakan pemain kita berusia antara 13 hingga 16 tahun, dan mereka berjaya mempamerkan permainan cemerlang dan saya berharap kejayaan ini akan diteruskan pada kejohanan Sukan Malaysia di Pahang nanti," katanya.

Juara 22 kali kejohanan, Selangor, hanya mampu menduduki tangga kedua selepas mengutip empat emas, tiga perak dan dua gangsa manakala tempat ketiga diraih Johor dengan kutipan tiga emas, dua perak dan dua gangsa.

Juara bertahan Sarawak pula di tangga kelima dengan dua emas, satu perak dan dua gangsa. - BERNAMA

Artikel Lain