suria

Piala AFF Suzuki: Muka Baru Perlu Bukti Prestasi

PETALING JAYA: Ketua jurulatih kebangsaan, Datuk K. Rajagobal akan memberi peluang kepada pemain muda untuk mempamerkan kemahiran mereka sebelum skuad negara diputuskan untuk Kejohanan Piala AFF Suzuki 2012.

Katanya, beliau mempunyai masa yang cukup selepas kempen Piala Malaysia untuk menguji muka-muka baru sebelum Kejohanan Piala AFF bermula di dua venue iaitu Malaysia dan Thailand dari 24 November hingga 22 Disember ini.

"Sebelum itu kita akan adakan perlawanan persahabatan, dan tidak perlu membuat kesimpulan bahawa pasukan kita tidak memberi satu keputusan positif," katanya kepada pemberita ketika ditemui di Wisma Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Kelana Jaya, di sini Rabu.

Terdahulu, beliau menerima anugerah Pencapaian Malaysia yang disampaikan oleh Naib Pengerusi Pertubuhan Pencapaian Malaysia Razali Rahmat.

Skuad Harimau Malaya kini dalam misi mempertahankan piala tersebut setelah muncul juara pada 2010 dengan menundukkan Indonesia dengan agregat 4-2.

Selain itu, Rajagobal meminta semua pihak supaya tidak sewenang-wenangnya membuat kesimpulan tentang prestasi skuad bimbingannnya itu.

"Saya lebih tahu prestasi skuad negara dan kini sedang membuat perancangan persiapan menghadapi kejohanan Piala AFF Suzuki, namun (mereka) belum lagi sampai ke prestasi kemuncak dan bukan saya mahu bagi alasan.

"Saya dapat membuat kesimpulan selepas perlawanan dengan Australia dan India tahun lepas dan Filipina tahun ini skuad negara main dengan baik.

"Saya menggunakan pemain yang berbeza bagi mencari keserasian," katanya ketika diminta mengulas kenyataan Timbalan Presiden FAM, Tan Sri Annuar Musa.

Laporan akhbar pada Rabu menyatakan Annuar Musa menyifatkan prestasi pasukan sebagai tidak menentu.

"Tetapi terpulang kepada Tan Sri (Annuar Musa) dan saya pun tidak tahu kenapa beliau memberi komen sebegitu. Sepatutnya dia tanya kepada pengurus saya Datuk Seri Subahan Kamal," kata Rajagobal.

Jurulatih itu berkata, sasaran sebenar beliau adalah untuk menyediakan barisan pemain yang mantap bagi menghadapi Piala Asia 2015 di Sydney, Australia.

"Sasaran saya adalah kelayakkan Piala Asia 2015, kalau itu tidak berjaya saya kena buat keputusan...saya tidak boleh buat keputusan sekarang dengan mengatakan prestasi tidak memberangsangkan atau kurang memuaskan," katanya. - BERNAMA

Artikel Lain