suria

Pemain Amatur Terbaik Malaysia Sertai Maybank Terbuka Malaysia 2012

KUALA LUMPUR: Persatuan Golf Malaysia (MGA), penjaga kejohanan Maybank Terbuka Malaysia pada Khamis mengumumkan empat daripada enam pemain golf amatur akan menyertai edisi ke-51 kejohanan berprestij itu yang akan diadakan di Kuala Lumpur Golf & Country Club di Bukit Kiara pada 12-15 April.

Pemain amatur Malaysia yang berada pada kedudukan terbaik pada pertandingan tahun lepas, Chan Tuck Soon, akan disertai Low Khai Jei, Muhammad Afif Mohd Razif dan pemain amatur berpangkalan di Amerika, Muhammad Arie Irawan Ahmad Fauzi.

Dua lagi tempat bagi pemain amatur akan diumumkan kemudian.

Presiden MGA Laksamana (B) Tan Sri Mohd Anwar Mohd Nor dalam satu kenyataan berkata semua pemain amatur itu dipilih berasaskan kriteria yang ketat termasuk prestasi pemain pada acara amatur antarabangsa berprofil tinggi tahun lepas.

Katanya pemilihan juga berdasarkan penyertaan dalam ujian pasukan kebangsaan yang diadakan dalam lima pusingan di Kelab Golf Perkhidmatan Awam (KGPA) dan Kelab Golf Diraja Selangor pada 16-20 Jan dan Amatur Terbuka Kuala Lumpur yang diadakan di KGPA mulai 21-23 Februari.

Pemain amatur ini telah membuktikan keazaman untuk memberi cabaran di peringkat tertinggi dan MGA yakin mereka akan melakukan yang terbaik untuk bersaing dengan pemain terkemuka jelajah Asia dan Eropah, katanya.

Kejohanan tahun ini akan menyaksikan bintang terkemuka dunia golf berkumpul dengan pemain profesional Malaysia bersaing dengan beberapa pemain terbaik dunia untuk memburu gelaran juara.

Setakat ini, pemain nombor empat dunia Martin Kaymer dari Jerman dan juara bertahan Masters, Charl Schwartzel dari South Africa telah mengesahkan penyertaan mereka pada acara ini yang menawarkan hadiah US$ 2.5 juta (lebih RM7 juta). - BERNAMA

Artikel Lain