suria

Pasangan Sarawak Juara Beregu Wanita Kejohanan Boling Antara Negeri

PETALING JAYA: Pasangan elit Sarawak Jacqueline Jelene Sijore/Dayang Khairuniza Dhiyana Awang Jamalidon muncul juara beregu wanita Kejohanan Boling Antara Negeri ke-25, di sini, Rabu walaupun ketinggalan sebelum itu.

Mengakhiri dua permainan pertama di tempat ke enam selepas hanya mengumpul 799 jatuhan pin, pasangan itu kembali menguasai permainan dengan Jacqueline mencatatkan 1,253 jatuhan pin dan Dayang Kahiruniza Dhiyana dengan 1,187, menjadikan mata terkumpul 2,440 sekali gus menyumbang pingat emas kedua Sarawak, Rabu.

Pasangan Kuala Lumpur Cheryl Cheong/Sharon Koh yang mendahului pada dua permainan pertama meraih pingat perak dengan 2,436 jatuhan pin, sementara satu lagi beregu kebangsaan Zatil Iman Abdul Ghani/Siti Safiyah yang mewakili Selangor sekadar berpuas hati dengan gangsa apabila mengumpul 2,367 mata.

Bercakap kepada pemberita selepas itu, Jacqueline menggambarkan kejayaan mereka sebagai dramatik kerana berupaya mengawal perasaan dan bangkit perlahan-lahan untuk menguasai permainan.

"Kami ketinggalan terlalu awal. Tetapi selepas saya melihat papan mata, saya tahu kami harus mengubah rentak permainan dan saya gembira kerana kami berjaya melakukannya," kata pemain berusia 20 tahun itu.

Dayang Khairuniza Dhiyana, 21, pula berkata mereka memulakan permainan dengan teknik balingan yang salah.

"Tapi kami tidak mudah patah semangat dan saling memberi motivasi satu sama lain sehingga akhirnya berjaya muncul juara," katanya.

Selepas dua hari, Johor menguasai kutipan pingat dengan dua emas, satu perak dan satu gangsa, diikuti Pulau Pinang dengan dua emas serta satu gangsa, dan Selangor dengan dua emas.

Sebanyak 14 negeri akan bersaing bagi acara berpasukan pada hari terakhir esok sebelum menyertai Kejohanan Boling Kebangsaan ke-36 di venue yang sama. - BERNAMA

Artikel Lain