suria

FAM Gesa FIFA Mohon Maaf

PETALING JAYA: Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) menggesa Persekutuan Bola Sepak Dunia (FIFA) memohon maaf terhadap dakwaan tidak berasas bekas Ketua Pegawai Keselamatannya Chris Eaton yang mengaitkan FAM dengan kes mengatur perlawanan Liga Malaysia, baru-baru ini.

Setiausaha Agung FAM, Datuk Aizuddin Ahmad hari ini berkata gesaan itu dibuat Timbalan Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah melalui sepucuk surat kepada Presiden FIFA menerusi khidmat DHL Express, e-mel dan faks pada Selasa.

"Semalam Tuanku telah mengutus sepucuk surat kepada presiden FIFA supaya memohon maaf atas kenyataan yang dibuat oleh Eaton baru-baru ini," katanya kepada pemberita selepas majlis penganugerahan Pencapaian Malaysia kepada Ketua Jurulatih Kebangsaan Datuk K.Rajagopal di Wisma FAM di sini.

Turut hadir, Timbalan Pengerusi Pertubuhan Pencapaian Malaysia, Razali Datuk Rahmat.

Tengku Abdullah sebelum ini dalam kenyataannya menganggap dakwaan Eaton sebagai tidak berasas dan beretika serta akan mengambil tindakan susulan walaupun tiada fakta yang membuktikan perkara itu.

"Apa jua perkara berhubung rasuah perlu dimaklumkan terlebih dahulu kepada agensi penguatkuasaan seperti Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) atau persatuan (FAM) terlebih dahulu.

"Nama-nama yang beliau dedahkan pada lawatan yang pertama pada 5 Mac lepas, semuanya adalah rakyat Singapura yang tinggal di Singapura. Jadi, tanpa sebarang bukti, kita tidak boleh harap SPRM dan polis mengambil tindakan.Saya berpendapat ia tidak dapat diterima kerana kita ada peraturan dan prosedur," katanya.

Dalam satu kenyataan yang disiarkan bulan lepas, Eaton mendakwa pegawai pentadbiran FAM turut terlibat dalam gejala mengatur perlawanan termasuk yang membabitkan kelab bola sepak republik Singapura Lions XII dengan Negeri Sembilan di Singapura baru-baru ini yang menyaksikan Lions XII menang 3-1.

FAM menerusi Jawatankuasa Integritinya yang dipengerusikan Tan Sri Dr Aseh Che Mat telah mengadakan perjumpaan tertutup dengan Eaton di Wisma FAM di Petaling Jaya pada 5 Mac lepas.

Perjumpaan tertutup yang turut dihadiri oleh Pengarah Bahagian Risikan SPRM, Shamshun Baharin Mohd Jamil dan wakil dari PDRM diadakan bagi mendapatkan penjelasan daripada Eaton mengenai dakwaaan terhadap FAM itu.

Eaton yang diiringi oleh pegawai penyiasatan FIFA Terry Steans dan Ketua Pegawai Keselamatan FIFA bagi rantau Asia Michael Pride turut memaklumkan kepada FAM bahawa beliau kini telah meninggalkan badan induk bola sepak dunia itu untuk menyertai sebuah agensi di Qatar. - BERNAMA

Artikel Lain