suria

Nur Aiman Rampas Kejuaraan Dari Alex Liew

PETALING JAYA: Pemain elit negara Muhammad Nur Aiman Muhammad Khairudin dari Johor muncul juara kategori individu lelaki senior pada Kejohanan Boling Antara Negeri kali ke-25 di Sunway Megalanes, Bandar Sunway, di sini, Selasa.

Pemain sepenuh masa berusia 23 tahun itu mencatatkan 1,458 jatuhan pin untuk meraih pingat emas pertama sepanjang empat tahun penyertaannya dalam kejohanan tersebut.

Beliau mengenepikan penyandang juara Alex Liew dari Selangor yang mengumpul 1,380 jatuhan pin untuk meraih pingat perak. Pingat gangsa diraih oleh seorang lagi pemain elit negara, Aaron Kong dari Pulau Pinang yang hanya ketinggalan 21 jatuhan pin berbanding Alex.

Muhammad Nur Aiman yang ditemui pemberita selepas majlis penyampaian hadiah menyifatkan kemenangan tersebut merupakan pencapaian terbaik beliau tahun ini.

"Saya agak ketinggalan pada dua set awal kepada Alex sebelum bangkit dalam empat set berikutnya untuk memintas beliau. Bagi saya, permainan yang dipamerkan antara saya dengan Alex merupakan antara yang paling sengit pernah saya lalui setakat ini," katanya.

Muhammad Nur Aiman berkata beliau bersama dengan skuad negara akan bertolak pada 20 Mac ini untuk menyertai Kejohanan Cabaran Eropah Brunswick 2012 di Paris, Perancis, yang dijadualkan berlangsung penghujung bulan ini.

"Saya tidak mahu meletakkan sasaran awal dalam kejohanan tersebut tetapi saya berjanji akan memberikan persembahan terbaik untuk negara," katanya.

Selepas berakhirnya hari pertama kejohanan, Johor muncul pendahulu keseluruhan dengan mengumpul dua emas dan satu perak diikuti Kuala Lumpur dengan satu emas dan dua gangsa manakala Pulau Pinang menduduki tempat ketiga dengan satu emas dan satu gangsa. -BERNAMA

Artikel Lain