suria

Malaysia Gagal Peroleh Mata Tunduk Kepada Syria 0-3

KUALA LUMPUR: Skuad Harimau Muda mengakhiri kempen kelayakan Olimpik zon Asia tanpa sebarang mata apabila kalah 0-3 kepada Syria pada aksi terakhir Kumpulan C di Stadium Antarabangsa Raja Abdullah, Amman, Jordan, malam Rabu.

Skuad Olimpik negara bimbingan Ong Kim Swee berjaya mengekang pergerakan pemain Syria pada separuh masa pertama tanpa sebarang jaringan sebelum pasukan lawan bangkit pada babak kedua untuk menghancurkan hasrat negara meraih mata sulung.

Penyerang Syria, Mardek Mardkian, membuka tirai jaringan pada minit ke-48 apabila rembatan kencangnya dari luar kotak penalti gagal ditampan oleh penjaga gol, Mohd Izham Tarmizi Roslan.

Dalam kekalutan menjaga gawang daripada terus dibolosi, pemain pertahanan Mohamad Fadhli Mohd Shas telah dilayangkan kad merah oleh pengadil selepas dikatakan mengasari pemain lawan pada minit ke-55.

Tiga belas minit selepas insiden itu (kad merah), Mardek menggunakan kesempatan di atas kerapuhan benteng pertahanan Malaysia dengan gol keduanya.

Malaysia, yang bermain dengan 10 pemain, terus diasak barisan penyerang Syria dan pada minit ke-80 Mardek melorongkan bola kepada Omar Al Suma untuk melabuhkan tirai jaringan.

Pada pertemuan di Stadium Bukit Jalil, 23 Nov lalu, Syria mengalahkan Malaysia 2-0. Malaysia, yang diundi bersama Jepun, Syria dan Bahrain dalam Kumpulan C, menamatkan saingan di tangga tercorot tanpa sebarang mata. - BERNAMA

Artikel Lain