suria

Kecederaan Chong Wei Dijangka Pulih Sebelum Piala Thomas

KUALA LUMPUR: Kecederaan bahu yang dialami jaguh badminton negara Datuk Lee Chong Wei dijangka pulih sepenuhnya dalam masa tiga hingga lima minggu sebelum Kejohanan Piala Thomas, Mei ini.

Ketua Pengarah Institut Sukan Negara (ISN) Datuk Dr Ramlan Aziz berkata Chong Wei bagaimanapun masih perlu menjalani pemeriksaan lanjut apabila beliau pulang ke tanah air kelak.

Chong Wei dijangka pulang ke tanah air Jumaat ini.

"Masa untuk pulih, melihat situasi sekarang dijangka antara tiga hingga lima minggu. Gambaran yang lebih jelas (dapat diketahui) selepas imbasan dan pemeriksaan semula apabila beliau pulang," katanya menerusi sistem pesanan ringkas (SMS) kepada Bernama di sini, Selasa.

Ahad lalu, pemain nombor satu dunia itu menarik diri daripada perlawanan akhir kejohanan All England kerana kesakitan di bahagian bahu.

Tindakan beliau telah memberi kemenangan kepada lawannya Lin Dan dari China yang juga merupakan musuh tradisi perseorangan negara itu.

Dr Ramlan berkata, Chong Wei yang kini berada di Switzerland, buat masa ini menjalani rawatan fisioterapi daripada pakar fisio ISN yng mengiringinya untuk mengurangkan kesakitan dan sedikit kekejangan.

Katanya beliau akan terus memantau kemajuan rawatan dan pemulihan atlet negara itu menjelang Kejohanan Piala Thomas pada 20 hingga 27 Mei ini di Wuhan, China. "Apabila sampai masanya saya akan nasihatkan jurulatih mengenai keadaan beliau," katanya. Sebagai pemain perseorangan Nombor Satu negara, Chong Wei dilihat sebagai teraju utama yang akan membantu pasukan Malaysia pada kejohanan berprestij itu. -BERNAMA

Artikel Lain