suria

Kejohanan Skuasy Terbuka KL CIMB 2012 Disertai 16 Pemain Terkemuka Dunia

KUALA LUMPUR: Kesemua 16 pemain skuasy wanita terkemuka dunia mengesahkan penyertaan mereka pada Kejohanan Skuasy Terbuka KL Nicol David CIMB 2012 yang akan berlangsung di sini dari 26 hingga 31 Mac.

Presiden Persatuan Raket Skuasy Malaysia (SRAM) Datuk Syed Mustaffa Syed Ali berkata antara yang telah mengesahkan termasuk ratu skuasy negara dan pemain nombor satu dunia Datuk Nicol David sendiri, pemain nombor dua dunia dari England Jenny Duncalf dan pemain nombor 12 dunia, Joelle King dari New Zealand.

"Kejohanan wanita itu juga telah dinaik taraf kepada Siri Emas Dunia Persatuan Pemain Skuasy Wanita (WSA) dengan hadiah wang tunai ditambah daripada US$50,000 tahun lepas kepada US$60,000,(RM180,000) tahun ini.

"Kejohanan tahunan itu yang sebelum ini dikenali sebagai Kejohanan Skuasy Terbuka KL CIMB, juga pada tahun ini telah dinamakan sebagai Kejohanan Skuasy Terbuka KL Nicol David CIMB," katanya pada sidang media mengenai kejohanan itu di sini Selasa.

Menurut Syed Mustaffa, penukaran mana kejohanan itu bagi menghargai dan mengiktiraf kejayaan Nicol memecah rekod meraih gelaran keenam dunia serta untuk memberikan lebih impak kepada kejohanan itu khususnya acara Wanita.

Selain Nicol, pemain lain Malaysia yang akan beraksi dalam undian utama ialah pemain nombor 13 dunia Low Wee Wern manakala pemain remaja iaitu Delia Arnold dan Vanessa Raj akan bersaing dalam pusingan kelayakan.

Sepertimana edisi terdahulu, kejohanan itu yang memasuki tahun ketujuh, akan berlangsung di dua venue iaitu Pusat Skuasy Nasional di Bukit Jalil (pusingan kelayakan dan awal) dan Berjaya Times Square (suku akhir hingga akhir).

Sementara itu, dalam acara Lelaki, juara bertahan Karim Darwish dari Mesir dan dua pemain Malaysia Mohd Azlan Iskandar dan Ong Beng Hee tersenarai dalam undian utama.

Syed Mustaffa berkata hadiah wang tunai untuk acara lelaki kekal sebanyak US$50,000 bagi memberi peluang kepada lebih ramai pemain negara untuk mara dalam kejohanan itu.

"Kami berharap mereka (pemain lelaki) akan mengambil peluang ini dan akan berusaha keras untuk menonjolkan keupayaan mereka," katanya.

Beliau juga berkata Malaysia mungkin akan mengambil masa 10 tahun lagi untuk melahirkan pemain skuasy lelaki nombor satu dunia. -BERNAMA

Artikel Lain