suria

PKNS FC Catat Kejayaan Berganda Dalam Liga Futsal Kebangsaan

KUALA LUMPUR: Pasukan PKNS FC mencatat kejayaan berganda pada edisi kelima Liga Futsal Kebangsaan Felda/FAM 2011/2012 apabila muncul juara keseluruhan dalam kategori lelaki dan wanita.

Pada perlawanan akhir di Stadium Putra, Bukit Jalil di sini hari ini, pasukan lelaki mereka membelasah MPSJ FC 7-2.

Tujuh gol pasukan bimbingan Jamhuri Zainudin itu disumbangkan oleh Qaiser Heshaam Abdul Kadir (minit ke-19), Mohamad Fadzil Abdul Karim (minit ke-20), Mohamad Izuwan Hayat (minit ke-23), Mohd Khairul Effendy Mohd Bahrin (minit ke-24 dan 29), Muizzuddin Mohd Haris (minit ke-25 dan 38) manakala dua gol MPSJ FC dihasilkan oleh Badri Daud pada minit ke-27 dan Amar Ashraf Abu Bakar (minit ke-33).

Pasukan wanita PKNS pula mencipta kejutan menewaskan juara bertahan Selangor menerusi jaringan tunggal Hanis Farhana Shamsul Azizan pada minit ke-10.

Kejayaan tersebut membolehkan kedua-dua pasukan masing-masing membawa pulang wang tunai RM40,000 dan piala pusingan yang disampaikan oleh Naib Presiden FAM Datuk Hamidin Mohd Amin.

Pasukan MPSJ FC dan Selangor yang muncul naib juara pula masing-masing meraih wang tunai RM20,000 selaku naib juara.

Lebih manis bagi PKNS FC, Hanis Farhana turut dinobatkan selaku pemain wanita terbaik perlawanan akhir dan pemain muda berpotensi untuk membolehkan beliau membawa pulang wang tunai RM2,000.

Pemain lelakinya, Muizzuddin Mohd Haris turut muncul sebagai pemain terbaik. Pengurus Pasukan PKNS FC, Sairullizam Siedin berkata kejayaan tersebut merupakan pencapaian terbaik pasukan tersebut sejak menyertai pertandingan pada 2009.

"Saya ingin mengucapkan tahniah kepada para pemain yang memberikan komitmen penuh bagi memastikan kita berjaya merangkul kejuaraan buat kali pertama kerana pencapaian terbaik kita sebelum ini ialah mara ke suku akhir tahun lepas," katanya.

Beliau turut meletakkan harapan agar kedua-dua skuad lelaki dan wanita pasukan tersebut dapat mengekalkan kejuaraan pada kejohanan akan datang.

SENARAI PENUH PEMENANG LIGA FUTSAL KEBANGSAAN 2011/2012: Juara Keseluruhan Lelaki : PKNS FC Wanita : PKNS FC Pemain Terbaik Perlawanan Akhir Lelaki : Muizzuddin Mohd Haris (PKNS FC) Wanita : Hanis Farhana Shamsul Azizan (PKNS FC) Penjaring Gol Terbanyak - Lelaki : Mohd Asmie Amir Zahari Angela Kais (PDRM) Penjaga Gol Terbaik Lelaki : Mohd Rahimi Abdul Satar (Pahang) Wanita : Anis Mazura Ibrahim (Selangor) Pemain Muda Berpotensi - Lelaki : Mohd Shamsul Akmar Zamri (MPSJ FC) Wanita : Hanis Farhana Shamsul Azizan (PKNS FC) - BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain