suria

TSG Senarai Lima Pelumba Ke Kejohanan Le Tour De Taiwan

KUALA TERENGGANU: Lima pelumba profesional akan menggalas cabaran pasukan Terengganu Cycling Team (TSG) pada jelajah Le Tour de Taiwan selama seminggu di Taipei, bermula Sabtu.

Ketua Pegawai Eksekutif TSG Mohd Sophian Abu Bakar berkata lima pelumba itu terdiri daripada dua anak tempatan -- Mohd Shahrul Mat Amin dan Mohammad Saufi Mat Senang, dua pelumba Korea, Jang Chan Jae, Kim Do Hyoung serta Shinichi Fukushima dari Jepun.

Pasukan itu akan diiringi oleh jurulatih kelahiran Itali, Sebastian Ducios.

"Ini merupakan penyertaan pertama TSG di kejohanan luar negara tahun ini dan kita harap akan mencapai kejayaan bagi menyuntik semangat pada kejohanan yang lain nanti," katanya, Jumaat.

Mohd Sophian berkata pasukan TSG telah menyenaraikan 19 kejohanan luar negara dan 13 kejohanan dalam negara untuk disertai pada sepanjang tahun ini.

Beliau berkata kecuali Anuar Manan yang kini menyertai pasukan Champion System dari Hong Kong, semua pelumba-pelumba yang lain dikekalkan untuk mengharungi perlumbaan musim 2012.

Di samping tiga pelumba asing itu, pasukan TSG musim ini terdiri daripada Mohd Hariff Saleh, Mohd Shahrul, Yusrizal Usoff, Mohammad Saufi, Muhamad Faiz Sharifuddin Abd Kadir, Muhammad Shobry Abdullah, Mohd Nor Umardi Rosli dan Nur Amirul Fakhruddin Mazuki.

"Kita juga ada dua pelumba baru yang berasal dari Terengganu untuk memperkuatkan TSG tahun ini iaitu Mohd Zamri Saleh dari Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Mohd Saufi Anuar Aziz," katanya.

Beliau berkata pelumba yang tidak ke Taiwan akan meneruskan latihan bagi persediaan menghadapi kejohanan seterusnya BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain