suria

Hoki Kelayakan Olimpik: Malaysia Benam Chile 5-1

KUALA LUMPUR: Malaysia memulakan cabaran dengan langkah kanan apabila mengalahkan Chile 5-1 pada kejohanan hoki pusingan kelayakan Olimpik 2012 di Dublin, Ireland.

Pertemuan itu disifatkan sebagai perlawanan pemanas badan buat Malaysia, yang menghuni ranking ke-13 dunia, sebelum berdepan Russia pada perlawanan kedua pada pukul 8.30 malam Ahad waktu Malaysia.

Malaysia tidak menghadapi masalah ketika menentang Chile tetapi terpaksa menunggu sehingga minit ke-18 untuk membuka tirai jaringan menerusi pukulan sudut penalti oleh Mohd Razie Rahim.

Bagaimanapun, Chile melakukan kejutan awal apabila menyamakan kedudukan dua minit kemudian oleh Jan Richter, hasil pukulan sudut penalti.

Tindakan Chile itu tidak mematahkan semangat anak buah Tai Beng Hai apabila Faisal Saari menyumbat gol kedua pada minit ke-22 sebelum kedudukan itu kekal sehingga separuh masa.

Malaysia kembali pada babak kedua dengan mengubah rentak perlawanan yang lebih agresif untuk menjinakkan pasukan Chile dengan menmbah tiga lagi gol menerusi Hafifihafiz Hanafi (minit ke-49), Mohd Razie (minit ke-51) dan Mohd Amin Rahim pada minit ke-61.

Malaysia perlu menjuarai pusingan kelayakan itu bagi menempah tiket ke Sukan Olimpik London pada Julai ini.

Selain Chile dan Malaysia, pusingan kelayakan itu turut disertai oleh tuan rumah, Ireland, Korea Selatan, Russia dan Ukraine.-BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain