suria

Piala Axiata: Malaysia Tiger, Malaysia Leopard Galas Cabaran Negara

KUALA LUMPUR: Pemain badminton Malaysia dibahagi kepada dua pasukan kebangsaan iaitu Malaysia Tiger dan Malaysia Leopard bagi membawa cabaran ke kejohanan sulung Piala Axiata yang menawarkan ganjaran hadiah wang tunai USD1 juta (1USD=RM3.00900).

Pasukan Malaysia Tiger, yang diundi ke dalam Kumpulan K, terdiri daripada pemain nombor satu dunia Datuk Lee Chong Wei serta beregu lelaki yang berada di ranking keenam dunia Koo Kien Keat/Tan Boon Heong, Juara Seluruh England 2003 Muhammad Hafiz Hashim, Liew Daren, Muhammad Arif Abdul Latif dan beregu kedua negara Goh V Shem/Lim Kim Wah.

Semua perlawanan membabitkan Kumpulan K akan berlangsung di Stadium Badminton Cheras. Turut berada dalam kumpulan ini ialah pasukan Rajawali dari Indonesia, Thailand dan Filipina.

Pemain dalam pasukan Malaysia Leopard ialah juara dunia perseorangan junior lelaki Zulfadli Zulkifli, Iskandar Zulkarnain, Misbun Ramdan Misbun, juara dunia beregu junior 2009 Ow Yao Han/Chooi Kah Ming dan juara dunia beregu junior 2011 Teo Ee Yi/Nelson Heg Wei Keat.

Malaysia Leopard diundi berada dalam Kumpulan J bersama pasukan Garuda dari Indonesia, Singapura dan Vietnam.

Perlawanan bagi Kumpulan J berlangsung di dua venue di Jakarta, Indonesia iaitu Gelanggang Tenis Tertutup Senayan dan Kelapa Gading Sports Mall (Britama Arena).

Piala Axiata menggunakan format tiga permainan iaitu dua perseorangan serta satu pasangan beregu bagi setiap perlawanan.

Perlawanan awal kumpulan bagi Round Robin akan berlangsung selama tiga hari mulai 23 Mac. Selepas itu, dua pasukan teratas setiap kumpulan akan menentang pasukan dari kumpulan berlawanan di tempat sendiri dan tempat lawan dalam peringkat separuh akhir pada hujung minggu berasingan yang akan berlangsung dari 31 Mac hingga 1 April.

Perlawanan akhir akan diadakan dalam format yang sama iaitu di tempat sendiri dan tempat lawan seperti peringkat separuh akhir dari 13 April hingga 15 April.

Kejohanan Piala Axiata mendapat restu Konfederasi Badminton Asia (BAC).

Pasukan yang menang akan menerima USD400,000 (RM1.21 juta), tempat kedua USD200,000 (RM605,634), dua pasukan tewas yang mara ke peringkat separuh akhir masing-masing menerima USD100,000 (RM302,817) dan setiap pasukan yang layak ke peringkat suku akhir USD50,000 (RM151,408). BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain