suria

SSTMI Kekal Juara Liga Hoki Remaja

IPOH: Pasukan hoki Thunderbolt dari Sekolah Sukan Tengku Mahkota Ismail (SSTMI) mengekalkan kejuaran dua tahun berturut-turut selepas menewaskan Universiti Kuala Lumpur (UniKL) 2-1 dalam perlawanan akhir Liga Hoki Remaja MHC-Milo-NSC 2012 di Stadium Hoki Sultan Azlah Shah, di sini, Ahad.

Dengan kemenangan itu, SSTMI Thunderbolt yang juga Juara Divisyen Satu menerima hadiah wang tunai RM25,000 manakala UniKL membawa pulang RM15,000.

Terdahulu, UniKL yang juga naib juara Divisyen Satu hanya mengambil masa enam minit untuk merobek gawang lawan menerusi pukulan sudut penalti Fahed Saifullah Shahrom Jamil.

Ketinggalan 0-1, SSTMI Thunderboldt mengatur gerakan bagi mencari gol penyamaan tetapi serangan yang diatur gagal menembusi pintu gol UniKL dan keputusan kekal sehingga tamat babak pertama.

Gol penyamaan Thunderbolt diperoleh melalui Mohd Fitri Saari pada minit ke-40 yang berjaya menolak masuk semasa kekalutan di hadapan pintu gol UniKL.

Melalui asakan bertali arus, Muhammad Aminuddin Mohd Zain terus meletakkan Thunderbolt di depan melalui pukulan sudut penalti beberapa minit kemudian dan keputusan kekal sehingga akhir perlawanan.

Sultan Perak Sultan Azlan Shah berkenan berangkat menyaksikan kesemua perlawanan yang berlangsung hari ini dengan diiringi Menteri Besar Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir.

Sementara itu dalam perlawanan merebut tempat ketiga dan keempat, Sekolah Sukan Bukit Jalil (SSBJ) menewaskan pasukan MBI-Anderson dari Sekolah Menengah Anderson 3-1.

Berada di kedudukan ketiga, SSBJ menerima hadiah wang tunai RM12,000 manakala MBI-Anderson pula mendapat saguhati RM10,000.

Selain itu, hadiah khas -- pemain terbaik, pemain terbaik perlawanan akhir, penjaga gol terbaik masing-masing menerima habuan berjumlah RM1,500 berbanding RM500 sebelum ini.

Hadiah bagi Anugerah 'Fairplay' juga ditambah daripada RM3,000 kepada RM4,000.- BERNAMA

Artikel Lain