suria

Saingan Guardini Terlalu Kuat: Harrif

KUALA TERENGGANU: Kekuatan tenaga yang ada pada pemenang enam peringkat dan jersi biru, Andrea Guardini daripada pasukan Farnese Vini-selle Italia sukar digugat pelumba Malaysia.

Ini diakui sendiri pelumba negara, Mohd Harrif Salleh daripada pasukan Terengganu Cycling Team (TSG), yang sekadar berada di tempat keempat di belakang Guardini pada peringkat terakhir perlumbaan Le Tour de Langkawi (LTdL) dari Tasik Kenyir ke Kuala Terengganu sejauh 114.8km pada Ahad.

"Saya memang sasar untuk menang hari ini dan agak sedih juga sebab tidak menang. Agak susah juga untuk mengejar Guardini kerana dia sangat laju.

"Masa berlumba tadi, saya memang sasar untuk mengejar Guardini dalam 2km sebelum penamat tetapi saya mendapat halangan daripada pelumba pasukan Europcar," katanya.

Pada perlumbaan peringkat terakhir itu, Guardini memenangi perlumbaan peringkat buat kali keenam pada edisi kali ini dengan catatan masa dua jam, 36 minit dan 42 saat.

"Rakan sepasukan Guardini memang sangat bagus. Kalaulah saya berada dalam pasukan yang seperti itu, memang saya yakin boleh menang. Bagaimanapun, saya bersyukur kerana pencapaian saya pada LTdL kali ini lebih baik dari tahun lepas," katanya.

Sementara itu, Adiq Husainie Othman muncul sebagai pelumba terbaik Malaysia selepas berada di kedudukan ke-19 dalam kedudukan keseluruhan.

Beliau yang mewakili pasukan Champion System, mengumpul masa 30:02:20s, ketinggalan enam minit dan 49 saat di belakang pemenang jersi kuning, Jose Serpa daripada pasukan Androni Giocattoli yang mengumpul 32:55:31s. Dalam kategori berpasukan, pasukan TSG meraih kedudukan ke-10 manakala pasukan kebangsaan menamatkan cabaran 10 hari edisi ke-17 LTdL di tempat ke-16 daripada 22 pasukan yang bertanding.-BERNAMA

Artikel Lain