suria

Pemecatan AVB Sebagai Pengurus Chelsea Libatkan Kos Lebih RM238.62 juta

LONDON: Pemecatan Andre Villas-Boas (AVB) sebagai pengurus Chelsea oleh Roman Abramovich datang bersama kos yang sangat besar - dianggarkan bernilai lebih £50 juta (RM238.62 juta) sepanjang perkhidmatannya selama hampir setahun bersama kelab dari London itu.

Hanya pada Jun tahun lepas sahaja Abramovich mengeluarkan £13.3 juta (RM63.47 juta) sebagai bayaran pampasan kepada juara Portugis, Porto untuk memperolehi khidmat AVB.

Dan bagi membolehkan AVB menjalankan tugas di Chelsea, Abramovich terpaksa membayar lebih dari £10 juta (RM47.72 juta) juga sebagai bayaran pampasan kerana menamatkan khidmat jurulatih kelahiran Itali, Carlo Ancelotti dan juga staf kejurulatihan yang dipecatnya.

Untuk tempoh 36 minggu dan 40 perlawanan AVB mengemudi Chelsea, beliau memperolehi gaji sebanyak £90,000 (RM429,522) seminggu.

Ini bermakna pendapatan keseluruhan beliau sebelum dipecat pada Ahad ialah £3.5 juta (RM16.7 juta).

Tetapi jumlah tersebut tidak terhenti setakat itu sahaja. Abramovich masih perlu mengeluarkan sejumlah £11 juta (RM52.5 juta) lagi sebagai wang pampasan kepada AVB kerana memecatnya lebih awal dari tempoh kontraknya selama tiga tahun itu.

Apabila ditambah dengan keseluruhan jumlah wang yang Chelsea keluarkan untuk memperolehi khidmat jurulatih Portugis itu, ternyata wang yang telah mereka belanjakan terhadapnya telah melebihi £50 juta (RM238.62 juta) yang mereka bayar untuk mendapatkan khidmat Fernando Torres dari Liverpool tahun lepas.

Chelsea, yang tewas di tangan WBA 1-0, Sabtu lalu sedang melalui musim yang terburuk sejak 2001. Ia adalah kekalahan mereka yang ketujuh musim ini.

Sejak beberapa minggu lalu pemain-pemain lama dan kanan Chelsea telah memberontak menentang kepimpinan AVB yang akhirnya menyaksikan mereka sama ada digugurkan atau diletakkan sebagai pemain simpanan.

Pemain-pemain seperti Ashley Cole dan Frank Lampard telah digugurkan dari kesebelasan utama yang menyaksikan pasukan ini tewas dalam kebanyakan perlawanan mereka.

AVB adalah pengurus yang ketujuh yang dipecat oleh Chelsea sejak Claudio Ranieri menjadi mangsa yang pertama pada Mei 2004 selepas empat tahun memimpin Chelsea.

Ia kemudian diikuti oleh Jose Mourinho (2 Jun 2004 - 20 Sept 2007); Avram Grant (21 Sept 2007 - 24 Mei 2008); Luis Felipe Scolari (11 Jun 2008 - 9 Feb 2009); Guus Hiddink (11 Feb 2009 - 30 Mei 2009); Carlo Ancheloti (1 Jun 2009 - 22 Mei 2011).

Untuk rekod, tempoh perkhidmatan AVB ialah dari 22 Jun 2011 - 4 Mac 2012.

Dan Chelsea kini sedang mencari pengurus yang kelapan dalam tempoh lapan tahun sejak mereka memecat Ranieri.

Buat sementara waktu, Roberto Di Matteo iaitu jurulatih yang dipilih sendiri oleh AVB sebagai penolongnya akan mengambil alih atas kapasiti pengurus sementara sehingga akhir musim ini yang hanya tinggal baki 13 perlawanan sahaja lagi.

Artikel Lain