suria

Pemain Taiwan Kuasai Kejohanan Tenis Terbuka Malaysia BMW 2012

Su-Wei menjadi pemain Asia pertama menjuarai Kejohanan Tenis Terbuka Malaysia BMW.
Su-Wei menjadi pemain Asia pertama menjuarai Kejohanan Tenis Terbuka Malaysia BMW.
Su-Wei menjadi pemain Asia pertama menjuarai Kejohanan Tenis Terbuka Malaysia BMW.

KUALA LUMPUR: Pemain dari Taiwan mendominasi Kejohanan Tenis Terbuka Malaysia BMW 2012 selepas Hsieh Su-Wei menjuarai kategori perseorangan manakala Chang Kai-Chen dan Chuang Chia-Jung dinobatkan juara acara beregu pada aksi akhir di Bukit Kiara Equestrian & Country Resort, Ahad.

Su-Wei yang berada di ranking 123 dunia telah menewaskan pemain nombor 66 dunia dari Croatia, Petra Martic, 2-6,7-5,4-1.

Pada set pertama Martic menguasai permainan dengan mengutip 6-4, namun Su-Wei bangkit pada babak kedua permainan dengan mencatat kemenangan 7-5.

Set ketiga, menyaksikan Su-Wei semakin mempamerkan permainan mantap, namun agak malang bagi Martic yang terpaksa menarik diri kerana mengalami keletihan melampau memandangkan pagi tadi dia turut bekerja keras pada aksi separuh akhir.

Dengan kemenangan ini bermakna Su-Wei,26, menjadi pemain Asia pertama menjuarai kejohanan ini serta gelaran pertama Siri WTA acara perseorangan.

Su-Wei membawa balik hadiah kemenangan bernilai US37,000 (RM111,000).

Pada edisi pertama kejohanan, Alisa Kleybanova dari Rusia dinobatkan sebagai juara, manakala tahun lalu dimenangi oleh Jelena Dokic dari Australia.

Sementara itu, pasangan beregu Kai-Chen/Chia-Jung merangkul trofi juara dalam acara beregu selepas menewaskan Chan Hao-Ching (Taiwan) / Rika Fujiwara (Jepun), 7-5,6-4 dalam tempoh 1 jam 30 minit.

Sebelum itu juga, Hao-Ching/Rika turut berusaha menewaskan pasangan kembar dari Republik Czech, Karolina/Kristyna Pliskova pada aksi separuh akhir yang ditunda kerana hujan pada Sabtu, namun mereka tetap menampilkan aksi bertenaga dengan mengekori rapat perbezaan mata dengan Kai-Chen/Chia Jung.

"Kami gembira dengan kemenangan ini dan berterima kasih kepada rakan saya yang sama-sama melalui laluan mencabar sebelum beraksi di final ini.

"Pada perlawanan ini, pasangan lawan juga telah memberi saingan sengit walaupun kami sedar mereka sedikit keletihan.

"Set pertama saya yakin mereka melakukan strategi tersendiri, namun kami hanya fokus pada permainan sendiri sahaja,” jelas Kai-Chen kepada media selepas perlawanan.

Kemenangan ini merupakan gelaran kedua mereka sepanjang empat kali digandingkan bersama.

“Kami merancang akan terus bergandingan pada kejohanan seterusnya, namun terpulang kepada keadaan kerana apa sahaja boleh berlaku,” tambahnya lagi.

Kai-Chen/Chia Jung membawa balik wang tunai bernilai US11,000 (RM33,000).

Artikel Lain