suria

Pemanah Negara Bina Kekuatan Mental Sebelum Ke London

KUALA LUMPUR: Pemanah-pemanah negara yang telahpun menempah tiket ke Sukan Olimpik di London, diberikan tumpuan khusus untuk membina kekuatan mental dan fizikal sebelum temasya itu berlangsung pada 27 Julai depan.

Jurulatih skuad kebangsaan, Lee Jae Hyung berkata daripada segi kemahiran, pemanah negara yang bertanding di Olimpik mempunyai tahap kecekapan yang hampir sama tetapi yang sering membezakan mereka ialah kekuatan mental.

"Dalam tempoh hampir lima bulan sebelum Olimpik, saya cuba untuk membina kekuatan mental pemanah-pemanah negara dan menggandakan latihan mereka," katanya ketika ditemui semasa sesi latihan skuad memanah di Bukit Jalil, Khamis.

Empat pemanah yang layak ke London ialah Cheng Chu Sian, Khairul Anuwar Mohamad, Haziq Kamaruddin dan Nurul Syafiqah Hashim.

Lee berkata pemanah tersebut akan menyertai acara recurve dan compound bagi acara lelaki dan wanita.

"Cuma saya berharap lebih ramai pemanah wanita dapat ke London kerana ketika ini hanya Nurul Syafikah manjadi wakil tunggal pemanah wanita ke Olimpik," katanya.

Beliau berkata pemanah wanita berpeluang untuk mencari tiket ke London menerusi Kejohanan Piala Dunia di Shanghai (April), dan Piala Dunia di Amerika Syarikat, yang juga merupakan kelayakan terakhir ke Olimpik, pada Jun depan.-BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain