suria

Mohd Saufi Pelumba Terbaik Negara Daki Genting Highlands

GENTING HIGHLANDS: Pelumba pasukan Terengganu Cycling Team (TSG), Mohd Saufi Mat Senan sekali lagi mengulangi pencapaian tahun lepas, selepas muncul pelumba terbaik tempatan pada peringkat keenam perlumbaan Le Tour de Langkawi (LTdL) yang berakhir di Genting Highlands pada Rabu.

Pelumba berusia 21 tahun itu menamatkan saingan sejauh 108km itu di tempat ke-16, sekali gus memperbaiki pencapaian tahun lepas iaitu ke-21.

Perlumbaan peringkat keenam itu dimenangai pelumba Colombia, Jose Serpa daripada pasukan Androni Giocattoli dengan catatan masa 3 jam 9 minit dan 37 saat, manakala Mohd Saufi ketinggalan lima minit dan enam saat di belakang Serpa.

Bagaimanapun, pakar pendaki TSG itu tidak berpuas hati dengan keputusan tersebut.

"Sasaran awal saya ialah untuk menamatkan saingan dalam kelompok lima terbaik tetapi tidak berjaya. Kalau hendak dikatakan saya kecewa dalam gembira.

"Jurulatih saya (Sebastien Duclos) memuji persembahan saya hari ini terutama sekali selepas berjaya menewaskan pemenang jersi kuning tahun lepas Yonnatta Monsalve (Androni Giocattoli) yang menamatkan perlumbaan di tempat ke-18," katanya.

Selepas tamat saingan peringkat keenam, Mohd Saufi kini bersaing rapat dengan Adiq Husainie Othman yang mewakili Champion System dalam perebutan kedudukan selaku pelumba terbaik Malaysia pada edisi kali ini.

Setakat ini, Mohd Saufi berada dikedudukan ke-21, hanya 36 saat di belakang Adiq Husainie yang berada di tangga ke-20.

Sementara itu Adiq Husainie, yang terjatuh sebelum memasuki kawasan Genting Sempah akibat laluan yang licin, akur dengan keputusan hari ini.

"Lepas jatuh, kaki kiri saya rasa agak berat dan syukur saya dapat memulihkan keadaan. Saya cuba sampai garisan penamat bawah dua minit di belakang pendahulu. Bagaimanapun, saya bangga dengan keputusan hari ini berbanding dua tahun lepas," kata Adiq Husainie yang menamatkan saingan peringkat keenam dengan defisit 5:47s di belakang Serpa.

Menurutnya kecederaan itu tidak akan mengganggu kayuhan dalam empat peringkat seterusnya di samping mahu meraih kemenangan di tempat kelahirannya, Chukai, Terengganu iaitu peringkat kelapan dari Pekan ke Chukai sejauh 100.8km. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain