suria

Prestasi Tak Menentu Dorong Fazli Kembali Ke Pasukan Lama

KUALA LUMPUR:Pelumba veteran Ahmad Fazli Sham (gambar) kembali ke pangkuan pasukan lamanya, Yamaha Maju Motor Racing, bagi menghadapi saingan Kejuaraan Cub Prix AAM Malaysia PETRONAS 2012 ekoran prestasi tidak menentu musim lalu.

Fazli, juara kategori Expert pada 2007 dan 2008, akan bergandingan dengan dua pelumba muda, Abdul Muhaimin Roslan dan Mohd Taufiq Roslan, dalam kategori Perdana CP130.

Pelumba berusia 30 tahun dari Taiping itu berkata beliau yakin kepulangannya dalam Yamaha Maju Motor Racing dapat mengembalikan semula prestasi sebenar dirinya untuk bersaing dalam pentas yang kompetitif itu.

Pada musim 2011, Fazli membuat keputusan kembali bergandingan dengan adiknya, Ahmad Fazrul Sham bersama pasukan Penzoil Racing Malaysia.

Walaupun tampil bersama pasukan baru buat pertama kali, Fazli menduduki tangga kelima keseluruhan dengan melakar kejayaan memenangi perlumbaan di Batu Kawan pada pusingan kedua dan menaiki podium di Kluang pada pusingan ketujuh.

"Walaupun berjaya menamatkan saingan di tangga kelima keseluruhan, bagi saya ia tidak mencukupi.Pada asalnya saya mempunyai peluang untuk mengejar gelaran juara keseluruhan, namun kegagalan pasukan menyediakan pelarasan terbaik secara konsisten menjejaskan peluang saya," kata Fazli.

Katanya beliau tidak pernah menimbang untuk menyertai pasukan lain pada musim ini kerana tidak yakin dengan kemampuan mereka untuk memenuhi kehendak beliau.

"Sebaliknya saya telah bersama Yamaha Maju Motor Racing untuk satu tempoh yang agak lama sebelum beralih pasukan tahun lalu. Bekerja dengan mereka amat mudah dan sistematik sekali, jadi ini membolehkan saya memberi sepenuh tumpuan untuk berlumba dan mencatat keputusan terbaik," katanya.

Pengurus pasukan, Yong Yin Hoe gembira dengan kepulangan Fazli ke dalam pasukan itu.

"Kami mempunyai banyak sejarah bersama selain mempunyai komunikasi yang cukup baik. Saya yakin kepulangannya dapat menambahkan kekuatan pasukan, meningkatkan tahap saingan dan juga dapat mempertahankan nama baik pasukan.

"Saya sendiri yakin kami dapat mengembalikan semula kegemilangan Fazli dengan mengatasi kelemahan utamanya musim lepas iaitu masalah prestasi jentera yang tidak konsisten," katanya.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain