suria

Jurulatih, Atlet Dipanggil Beri Keterangan Berhubung Isu Petisyen

KUALA LUMPUR: Enam jurulatih dan lima atlet yang menandatangani petisyen meminta Timbalan Presiden Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM) Datuk Karim Ibrahim meletakkan jawatan, dipanggil memberi keterangan kepada panel disiplin kesatuan itu. Jurulatih dan atlet berkenaan, yang mewakili 42 atlet serta 16 jurulatih dalam petisyen itu, memberi keterangan di depan panel empat anggota yang dipengerusikan Leftenan Kolonel K.Padman selama sejam 40 minit di Stadium Nasional Bukit Jalil.

Jurulatih berkenaan ialah Hamberi Mahat, K.Jayabalan, A.Trapadi, S.Muthiah, Istiaq Mubarak dan Mohd Man Sahar manakala atlet terdiri daripada Norsyikin Mad Rashid (acara 400 meter), Tan Song Hwa (tukul besi), Lo Choon Sieng dan Nordiana Rosli (jalan kaki) serta Schezuan Ahmad Rosely (4X400 meter).

Hamberi berkata, panel itu tidak menyentuh isi petisyen, sebaliknya mengemukakan dua pertuduhan baru terhadap beliau.

Katanya, beliau dituduh melanggar Akta KOM kerana mengalungkan pingat emas kepada pemenang bagi acara 4x400 meter di Sukan SEA Indonesia pada November lepas.

"Saya juga dipersalahkan atas tuduhan sengaja mendedahkan kepada media isi kandungan petisyen bertajuk 'Laporan dan Aduan Jurulatih dan Atlet Olahraga Kebangsaan kepada Presiden Kesatuan Olahraga Malaysia KOM' pada 13 Februari lepas," katanya kepada pemberita selepas memberi keterangan Selasa.

Bagaimanapun, Hamberi berpuas hati dengan soalan yang diajukan anggota panel itu dan berharap satu keputusan positif bakal dikeluarkan.

"Mereka (panel) telah menyoal saya dengan soalan yang sepatutnya tanpa memutarbelitkan fakta, dan saya juga telah memberi penjelasan yang tepat kepada mereka," katanya.

Beliau berkata pada mulanya, panel disiplin itu mahu melakukan sesi memberi kenyataan secara berasingan, namun setelah berbincang, mereka bersetuju untuk menyoal secara bersama.

Hamberi berkata, beliau menolak dakwaan KOM bahawa wujud dalang di sebalik penyerahan petisyen itu, sebaliknya menjelaskan ia dibuat atas rasa tidak puas hati 58 atlet dan jurulatih olahraga yang tidak tahan dengan tindakan Karim.

Beliau berkata, buat masa ini, mereka bersepakat untuk menunggu keputusan panel disiplin KOM dan tidak merancang sebarang tindakan susulan.

"Namun, jika keputusan yang diberikan oleh KOM tidak berasas, kami akan berbincang untuk membuat tindakan," katanya.

Pada 13 Februari lepas, semua jurulatih dan atlet olahraga kebangsaan menandatangani petisyen itu, yang mengandungi laporan 11 muka surat serta pengakuan bertulis berhubung aduan dan keluhan jurulatih tempatan selain usul agar Karim disingkir daripada jawatan Timbalan Presiden KOM.

Turut dimuatkan adalah kronologi punca berlakunya kes membabitkan atlet yang melarikan diri daripada ujian doping ke Bulgaria, dan juga atlet yang didapati positif ujian dadah di Sukan SEA Indonesia. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain