suria

Nur Suryani Dinobatkan Atlet Terbaik SAM-100 Plus 2011

PETALING JAYA: Penembak wanita kebangsaan, Nur Suryani Taibi diumumkan sebagai penerima Anugerah Persatuan Penulis-penulis Sukan Malaysia (SAM)-100Plus tahun ini.

Beliau yang merupakan penerima Anugerah Olympian 2011 mengetepikan saingan beberapa atlet tersohor negara seperti Datuk Nicol Ann David (skuasy), Datuk Lee Chong Wei (badminton), Mohd Azizulhasni Awang (berbasikal), Pandelela Rinong (terjun) yang turut dicalonkan bagi memenangi anugerah itu.

Dengan kejayaan itu, Nur Suryani membawa pulang hadiah wang tunai RM10,000 selain trofi yang disampaikan Menteri Belia dan Sukan Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek.

"Saya terkejut apabila diumumkan sebagai penerima anugerah ini kerana saingan untuk anugerah ini semuanya atlet yang hebat-hebat belaka.

"Tidak sangka pula dapat menang kerana saya tidak diminta membuat sebarang teks ucapan sebaliknya saya datang hari ini adalah untuk meraikan rakan-rakan yang lain," katanya kepada pemberita selepas majlis itu.

Beliau berkata kejayaan hari ini juga menjadi perangsang kepadanya untuk beraksi cemerlang pada Sukan Olimpik London nanti.

Pemenang dua pingat emas Sukan Sea Indonesia pada November lepas itu mencatat rekod negara apabila menjadi penembak wanita raifal pertama layak bertanding di temasya Olimpik, setelah meraih tiket dalam acara 10m Air Rifle menerusi Kejohanan Menembak Asia di Doha, awal Januari lepas.

Kejayaan lain Nur Suryani ialah menjadi atlet menembak pertama Malaysia memenangi pingat perak di Kejohanan World Shoot (Australia) 2011, meraih pingat emas di Sukan Komenwel 2010 (New Delhi) dan menyumbang pingat gangsa di Sukan Asia 2010 (Guangzhou).

Sementara itu, juara badminton remaja dunia Zulfadli Zulkifli dinobatkan sebagai pemenang Anugerah Atlet Remaja Terbaik 2011, manakala pasukan bola sepak kebangsaan bawah-23 tahun yang memenangi pingat emas di Sukan SEA Indonesia 2011 menerima Anugerah 'Outdo Yourself 100Plus'.

SAM turut menyampaikan sumbangan kepada keluarga jurukamera BernamaTV Allahyarham Noramfaizul Mohd Nor yang terbunuh ketika membuat liputan misi bantuan kemanusian di Mogadishu, Somalia, tahun lepas.

Sumbangan turut diberikan kepada atlet memanah paralimpik negara Allahyarham Muhamad Salam Sidik yang meninggal dunia pada November lepas.

Sepanjang kerjayanya sebagai atlet, Mohd Salam pernah beraksi di Sukan Paralimpik Athens (2004) dan Beijing (2008). - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain