suria

Guardini Ungguli LTdL Peringkat Ketiga

BATU PAHAT: Panas terik di sepanjang laluan 187.60km dari Melaka ke Parit Sulong, Johor tidak menghalang pelumba Itali, Andrea Guardini dari pasukan Farnese Vini-Selle Italia memenangi perlumbaan peringkat ketiga Le Tour de Langkawi (LTdL) 2012, Ahad.

Pelumba muda ini mengekalkan jersi biru dalam acara pecut dengan masa 4 jam 30 minit dan 11 saat.

Guardini mempamer kemahiran memecut di kilometer terakhir untuk mencecah dahulu garis penamat.

"Dengan tinggal 10 km lagi, pelumba pasukan Colnago cuba menyukarkan perlumbaan. Mereka cuba mendahuli saya tetapi pasukan saya telah membantu saya untuk berada di depan.

Pasukan saya sekali lagi beraksi cemerlang hari ini seperti yang saya mahu," kata pelumba berusia 22 tahun ini.

Mengekori rapat dengannya di garisan penamat ialah pelumba Belanda, Raymond Kreder dari pasukan Garmin Barracuda dan Anuar Manan yang mewakili pasukan Champion System.

Dengan keputusan hari ini, Anuar akan menjadi pencabar terdekat untuk menyarung jersi biru selepas mengumpul 26 mata, empat mata di belakang Guardini.

Kira-kira tiga kilometer ke garisan penamat, berlaku kemalangan yang membabitkan lapan pelumba tercedera.

Antara mereka ialah Tom Danielson (Garmin Barracuda) dan pelumba Malaysia, Mohd Harrif Salleh (Terengganu Cycling Team) dan mereka menerima catatan masa yang sama seperti pemenang oleh Komisar pelumbaan.

Selepas tiga peringkat perlumbaan, pelumba Amerika Syarikat, David Zabriskie mengekalkan jersi kuning selepas mengumpul masa 8:30:04s sementara pelumba pasukan Drapac Cycling, Floris Goesinnen dari Belanda mengekal jersi merah (acara bukit) dengan lapan mata.

Pelumba pasukan Astana Pro Team, Dmitriy Gruzdev mengekalkan jersi putih sebagai pelumba terbaik Asia selepas tiga peringkat dengan mengumpul masa 25:36:02s.

Bagi pasukan terbaik keseluruhan, pasukan Garmin Barracuda mendahului dengan catatan masa 25:33:08s.

Peringkat Keempat esok akan melalui laluan sepanjang 169.4km dari Batu Pahat ke Muar dengan terdapat tiga zon pecut di Simpang Rengam, Air Hitam dan Batu Pahat. - BERNAMA

Artikel Lain