suria

Atlet Angkat Berat Kedah Berlatih Di Kelantan, KL Hadapi Sukma 2012

ALOR SETAR: Atlet angkat berat Kedah akan menjalani latihan di Kelantan dan Kuala Lumpur pada Mac dan April sebagai persediaan menghadapi Sukan Malaysia ke-15 di Kuantan Julai depan.

Jurulatihnya Mohd Noor Osman berkata program 'Jelajah Latihan' ke negeri lain itu bertujuan supaya kesemua atlet lebih fokus semasa menjalani latihan serta tidak diganggu dengan aktiviti sosial yang boleh menjejaskan jadual latihan ditetapkan.

Katanya pada Disember lalu, Persatuan Angkat Berat Kedah (PABK) menghantar atlet ke Rompin, Pahang selama sebulan bagi menjalani latihan dan akan ke Kelantan 3 Mac ini serta akan ke Bukit Jalil, Kuala Lumpur selepas itu.

"Saya mahu mereka melakukan latihan dalam suasana yang berbeza agar mereka lebih fokus. Sebelum ini, latihan di Pusat Latihan Sekolah Menengah Kebangsaan Tunku Anum (di Jitra) sedikit terganggu disebabkan sering terlibat dengan aktiviti sosial.

"Kita juga akan sertai Kejohanan Angkat Berat Terbuka Kelantan pada 2 hingga 4 April di Kompleks Majlis Sukan Negeri (MSN) Kelantan bagi menguji tahap kemampuan sembilan atlet yang mengikuti program Jelajah Latihan ini," katanya kepada Bernama ketika dihubungi, Ahad.

Mohd Noor berkata daripada 12 atlet yang disenaraikan untuk menyertai Sukan Malaysia, hanya sembilan atlet sahaja yang mengikuti program tersebut.

Sementara itu, atlet wanita Intan Ayuni Abdullah, 18, yang pernah menang pingat emas pada Sukan Malaysia 2008 kini menjalani latihan di Bukit Jalil bersama jurulatih kebangsaan manakala dua lagi atlet yang masih bersekolah menjalani latihan di SMK Tunku Anum.

Mohd Noor berkata PABK mensasarkan untuk memperoleh sekurang-kurangnya lapan pingat emas, enam perak dan dua gangsa pada Sukan Malaysia kali ini dalam semua kategori yang dipertandingkan berdasarkan keupayaan pasukan itu memperoleh 11 emas pada temasya Sukan Malaysia 2010 di Malaysia.

Katanya pihak persatuan tidak mensasarkan pungutan pingat yang terlalu tinggi bagi mengelak bebanan pasukannya, dibarisi atlet yang pernah bertanding di Melaka. Senarai atlet dalam Program Jelajah Latihan:

1. Mohd Hanif Mohd Yunus, 18,

2. Mohd Aznil Bidin, 18,

3. Mohd Anas Malik Mokhtar, 18,

4. Mohd Dinie Akmal Md Ladzat, 18,

5. Mohd Solihin Abd Rahim, 18,

6. Mohd Yusof Azmi, 20,

7. Abdul Malik Desa, 18,

8. Khooo Jian Peng, 18,

9. Ku Mohd Yuzir Ku Ibrahim, 18,

- BERNAMA

Artikel Lain