suria

LTdL 2012: Zabriske Ungguli Peringkat Pertama Ujian Masa

Zabriske menyarung Jersi Kuning selaku juara keseluruhan pada peringkat pertama perlumbaan Le Tour de Langkawi (LTdL) edisi ke-17, Jumaat.
Zabriske menyarung Jersi Kuning selaku juara keseluruhan pada peringkat pertama perlumbaan Le Tour de Langkawi (LTdL) edisi ke-17, Jumaat.
Zabriske menyarung Jersi Kuning selaku juara keseluruhan pada peringkat pertama perlumbaan Le Tour de Langkawi (LTdL) edisi ke-17, Jumaat.

PUTRAJAYA: Pelumba profesional dari Amerika Syarikat, David Zabriske menepati ramalan apabila mengungguli perlumbaan ujian masa individu (ITT) sekaligus menyarung Jersi Kuning selaku juara keseluruhan pada peringkat pertama perlumbaan Le Tour de Langkawi (LTdL) edisi ke-17, Jumaat.

Zabriske, 33, bekas juara dunia acara itu pada 2008 yang mewakili pasukan Pro Tour, Garmin Barracuda (GRM) melakukan permulaan yang baik apabila mendahului 31 saat pada peringkat pertengahan perlumbaan sejauh 20.3km mengelilingi pusat pentadbiran Putrajaya.

Mendapat gelaran The Green Hornet, Zabriske yang sudah meraih enam gelaran juara kebangsaan Amerika Syarikat bagi ujian masa individu itu mencatatkan masa 24 minit 34.18 saat di garisan penamat sekaligus memaksa Adam Phelan dari pasukan Drapac Cycling turun ke tempat kedua dengan catatan masa 25:34.48s diikuti rakan sepasukannya Darren Lapthorne di tempat ketiga dengan masa 25:44.85s.

“Saya cukup teruja dengan laluan hari ini. Laluan sangat bagus, jalan yang besar dan baik. Saya amat teruja dan ianya sangat meningkatkan keyakinan dan membuatkan saya mahu terus memecut dengan pantas.

“Saya sendiri tidak mendapat maklumat mengenai catatan masa saya sehinggalah semua perlumbaan ditamatkan,” katanya.

Pemenang pingat perak Kejohanan Berbasikal Asia (ACC) 2012, Dmitriy Gruzdev yang mewakili Astana Pro Team (AST) pula menempa nama menyarung Jersi Putih selaku pelumba terbaik Asia dengan mencatat masa 26:07.73s diikuti rakan sepasukannya, Alexandr Dyachenko yang ketinggalan 5.35 saat untuk tempat kedua. Tempat ketiga ditempah pelumba Tabriz Petrochemical Team (TPT) Behnam Khalili (@13.26s).

Selepas tamat peringkat pertama hari ini, pasukan Garmin Barracuda menjadi pendahulu dengan mengumpul 1 jam 16 minit 38 saat untuk mendahului kedudukan pasukan keseluruhan bagi edisi kali ini, manakala Astana Pro Team muncul pasukan Asia terbaik setakat ini dengan mengumpul 1 jam 19 minit 32 saat.

Sementara itu, pelumba Malaysia yang mewakili pasukan Champion System (CSS), Mohd Adiq Hussainie Othman mencatatkan masa 27:17.18s, merupakan pelumba terbaik Malaysia selepas menamatkan saingan di tempat ke-41.

Kali terakhir acara Ujian Masa individu (ITT) dijalankan pada LTdL 2006 di Melaka. Pada acara itu, pelumba dari Itali yang mewakili pasukan Ceramica Panaria-Navigare, Sergiy Matveyev muncul juara acara itu.

Esok (Sabtu), seramai 130 pelumba daripada 22 pasukan akan memulakan penjelajahan dari Putrajaya ke Melaka sejauh 151.0km dengan melalui tiga zon pecutan di Salak Tinggi, Port Dickson dan Masjid Tanah dan dua zon pendakian mudah di Bukit Pelandok dan Linggi.

Artikel Lain