suria

Kejohanan Tenis Terbuka Malaysia BMW: Jawairiah Terkandas Awal

Aksi Jawairiah pada pusingan kelayakan pertama, menentang pemain Jepun, Sabtu.
Aksi Jawairiah pada pusingan kelayakan pertama, menentang pemain Jepun, Sabtu.
Aksi Jawairiah pada pusingan kelayakan pertama, menentang pemain Jepun, Sabtu.

KUALA LUMPUR: Pemain tenis wanita negara, Jawairiah Noordin terkandas pada pusingan pertama kelayakan Kejohanan Tenis Terbuka Malaysia BMW selepas ditewaskan pemain dari Jepun, Shuko Aoyoma di Bukit Kiara Equestrian & Country Resort, Sabtu.

Jawairiah tewas 6-4, 4-6, 6-3 sekali gus gagal mara pusingan kelayakan seterusnya.

Jawariah yang layak beraksi pada kejohanan ini secara wild card bagaimana pun berpuas hati dengan aksinya, lebih-lebih lagi dia telah memberi tentangan sengit kepada pemain Jepun itu.

“Saya berpuas hati dengan perlawanan tadi dan ia dianggap lebih baik dari sebelumnya. Saya sedar kekalahan ini disebabkan faktor kecergasan yang tidak mencapai tahap maksimum.

“Dengan hanya dua bulan berlatih, saya tidak mampu fokus pada kejohanan ini kerana tidak beraksi selama tiga tahun," katanya kepada media selepas perlawanan kelayakan itu.

Menurut Jawairiah, selama tiga tahun tanpa sebarang kejohanan besar, dia gagal memberi tumpuan sepenuhnya kerana tidak mempunyai jurulatih yang tetap.

“Selama ini saya menghadapi masalah ketiadaan jurulatih. Saya hanya berlatih sendiri. Ini menyebabkan saya gagal mempamerkan aksi yang lebih baik.

“Saya yakin jika ada jurulatih dan pihak penaja saya yakin boleh melakukan perubahan. Saya harap selepas ini saya mampu bermain di luar negara dan mampu menaikkan prestasi sedikit demi sedikit,” kata pemain berusia 22 tahun ini.

Selain itu seorang lagi pemain negara, Choo Lyn Yuen,16, gagal menyekat kemaraan pemain Ukraine, Tetyana Arefyeva apabila tewas straight set, 0-6, 2-6.

“Saya tidak banyak melakukan kesalahan, cuma lawan bermain sangat baik. Saya tidak mampu bersaing dengan dia. Pukulan saya sangat lembut berbanding Arefyeva,” katanya.

Artikel Lain