suria

KAFA Bakal Bina Stadium Bernilai RM300 Juta Di Bandar Tunjong

KOTA BAHARU: Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) bakal memiliki sebuah stadium sendiri di sebuah tapak yang dikurniakan Sultan Muhammad Ke-V di Bandar Baru Tunjong.

Presiden KAFA Tan Sri Annuar Musa berkata stadium itu, yang bernilai kira-kira RM300 juta, akan dibina secepat mungkin di tanah seluas kira-kira lapan hektar.

"Sultan Muhammad Ke-V telah berkenan untuk membenarkan tanah seluas kira-kira 40 hektar di kawasan Tunjong dibangunkan, termasuk membina stadium canggih seluas lapan hektar di mana reka bentuknya berdasarkan Stadium Cardiff City.

"Baginda juga bersetuju untuk melantik Syarikat Casamesra Sdn Bhd untuk membina stadium berkenaan berdasarkan reka bentuk yang diberikan oleh KAFA, selain itu, KAFA juga akan menguruskan mengenai pengurusan stadium berkenaan," katanya ketika ditemui pada majlis penajaan Mamee-Double Deecker (M) Berhad kepada persatuan itu hari ini.

Pada majlis itu, Mamee-Double Deecker (M) Berhad memeterai perjanjian dengan KAFA dan menaja Akademi Al-Hambra Red Warriors (ARMY) dengan jumlah kira-kira RM200 ribu untuk program pembangunan bola sepak di Kelantan.

Annuar berkata stadium baru itu mampu menampung kira-kira 30,000 penonton pada satu-satu masa.

"Kita memerlukan sebuah stadium yang baru kerana stadium Sultan Muhammad Ke-IV sekarang uzur dan tidak dapat menampung jumlah penonton yang semakin meningkat," katanya.

Kerajaan Kelantan sebelum ini berhasrat membina sebuah stadium dan kompleks sukan di Bukit Merbau Pasir Puteh, kira-kira 40 kilometer dari sini.

Bagaimanapun, sehingga kini proses pembinaan masih belum dilaksanakan.

Dalam perkembangan lain, ARMY yang dikendalikan bekas pengendali pasukan MyTeam, Bojan Hodak, berhasrat menghantar pelatihnya ke Jepun untuk menimba pengalaman.

Beliau berkata Jepun dipilih kerana negara matahari terbit itu menggunakan model kejurulatihan yang bersesuaian dengan Malaysia.-BERNAMA

Artikel Lain