suria

Final Piala Liga Penuh Emosi: Dalglish

PENGURUS Liverpool, Kenny Dalglish (gambar) percaya menjuarai Piala Liga mungkin menjadi permulaan kepada kejayaan yang lebih besar menjelang kunjungan The Reds ke Wembley buat pertama kali dalam tempoh 16 tahun untuk bertemu Cardiff City pada aksi akhir malam Ahad ini.

Selepas setahun membuat sentuhan pada kelab ini, terbukti mampu meningkat dan memantapkan prestasi kelab apabila hanya dipisahkan dengan kejuaraan pertama hujung minggu ini.

Sudah enam tahun sejak kali terakhir Liverpool menang trofi Piala FA menentang West Ham di Cardiff dan kelab Merseyside itu tidak pernah beraksi dalam pentas final di Wembley sejak 1996.

Dalglish percaya pertembungan menentang barisan kelab Liga Kejuaraan, Cardiff adalah hadiah bermakna buat penyokong kelab yang tidak berbelah bagi memberi sokongan walaupun Manchester United mengatasi mereka sebagai pasukan paling berjaya dalam bola sepak Inggeris.

“Ia memberi banyak makna kepada diri saya tetapi lebih penting kepada penyokong-penyokong kelab yang sabar menanti untuk melihat kami beraksi di Wembley.

“Bagi semua yang mempunyai kaitan dengan kelab, ini adalah ganjaran atas kesetiaan dan sokongan yang mereka ditunjukkan,” katanya.

Dalam masa sama, Dalglish berpuashati dengan peningkatan berterusan Liverpool sejak membimbing kelab itu tahun lalu, lebih-lebih lagi dengan kehadiran pemilik baru dari Amerika, Fenway Sports Group selepas proses pengambilalihan berpanjangan.

"Kami banyak meningkat berbanding tahun lalu, masih bersaing dalam Piala FA dan mara ke final Piala Liga serta hanya ketinggalan empat mata untuk merebut kedudukan keempat liga yang gagal dicapai tahun lalu,” katanya.

Artikel Lain