suria

Peluang Zulfadli Sertai Skuad Thomas Terbuka: Goh

KUALA LUMPUR: Persatuan Badminton Malaysia (BAM) tetap membuka peluang kepada juara badminton remaja dunia, Zulfadli (gambar) Zulkifli untuk menggalas cabaran menghadapi Kejohanan Piala Thomas di Wuhan, China, Mei depan.

Pengurus Besar BAM Kenny Goh berkata beliau akan mencadangkan kepada Jawatankuasa Latihan dan Kejurulatihan (C&T) untuk memanggil mana-mana pemain yang berbakat bagi menjalani latihan pusat sebelum membuat pilihan muktamad skuad Thomas pada Mei ini.

"Kita akan menghantar senarai skuad Thomas pada awal bulan Mei ini, saya berpendapat BAM perlu memulakan latihan pusat lebih awal, maknanya kita akan mengenal pasti pemain-pemain yang kita rasa terbaik, kalau Zulfadli dalam kumpulan itu kita akan panggil dia sekali.

"Bukan Zulfadli sahaja, kita ada beregu juara Asia Nelson Heg-Teo Ee Yi, mungkin kita boleh panggil mereka dalam latihan pusat, mereka boleh berlatih bersama-sama selama dua bulan contohnya. Jadi kita akan menilai prestasi mereka. Mungkin ini boleh dicadangkan kepada C&T," katanya kepada pemberita di pejabatnya, Bukit Kiara di sini, Khamis.

Kenny berkata BAM tidak akan teragak-agak untuk memilih Zulfadli atau sesiapa sahaja pemain yang mampu membuktikan mereka adalah terbaik dan memberi saingan hebat di Wuhan nanti.

Kenny berkata beliau tidak menafikan Zulfadli merupakan seorang pemain berbakat dan BAM mahukan pemain yang terbaik supaya memberi keputusan yang cemerlang pada setiap kejohanan bertaraf antarabangsa.

"Zulfadli memang seorang pemain yang berbakat, bukan senang untuk menjadi juara remaja dunia, juara remaja Asia dan memenangi beberapa kejohanan utama pada tahun yang sama," katanya.

Beliau berkata pihaknya masih menunggu laporan penuh daripada jurulatih berhubung prestasi skuad Thomas pada pusingan kelayakan Piala Thomas Zon Asia di Macau baru-baru ini sebelum membuat pilihan pemain ke Piala Thomas di Wuhan nanti.

"Kita perlu lihat laporan para jurulatih dan pengurus pasukan dan seterusnya kita boleh membuat sebarang pertimbangan dan juga sasaran. Maklum balas secara lisan yang diterima mengatakan prestasi Liew Daren dan Muhammad Arif Latif begitu baik di Macau," katanya.-BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain