suria

Kelayakan Olimpik 2012: Jepun Mahu Menang Besar Lawan Malaysia

PETALING JAYA: Ketua jurulatih skuad Olimpik Jepun, Takashi Sekizuka mahu anak buahnya menang besar ke atas Malaysia pada pertemuan timbal balik Kelayakan Sukan Olimpik (Zon Asia) di Stadium Nasional Bukit Jalil pada 22 Februari ini (Rabu).

Sekizuka berkata, hanya dua perlawanan lagi perlu dihadapi sebelum layak ke Sukan Olimpik tahun ini dan ianya sangat penting.

"Kami perlu menang menentang Malaysia esok, malah lebih penting bagi kami mendapatkan gol sebanyak mungkin.

"Selepas tiga hari melakukan persiapan di Singapura, semua pemain berada dalam keadaan bersedia walaupun cuaca di Malaysia agak panas," katanya pada sidang media, Selasa.

Menurut Sekizuka, dia mahu melihat pasukannya bermain dengan cara tersendiri dan turut melakukan perubahan taktik permainan.

"Pasukan Malaysia dilihat semakin baik dan kami perlu menunjukkan gaya permainan sendiri, abiliti sebenar bermain bola sepak.

"Saya harap kami akan menang. Sebelum ini kami telah mempamerkan permainan bagus, tetapi hanya mendapatkan dua gol sahaja," katanya.

Pada perlawanan pertama tahun lalu, Jepun tewaskan Malaysia 2-0 di Stadium Tosu, Fukuoka.

Jaringan dilakukan oleh Keigo Higashi dan Ryohei Yamazaki.

Jepun berada dalam Kumpulan C bersama Malaysia, Syria dan Bahrain.

Artikel Lain