suria

Bojan Hodak Kendali ARMY

KOTA BAHARU: Akademi Al-Hambra Red Warriors (ARMY) menerima khidmat Ketua Pegawai Eksekutif baru, Bojan Hodak, bagi menggantikan B. Sathianathan.

Bojan, 41, yang juga bekas pengendali My Team pada musim 2009, diumumkan menyandang jawatan itu oleh Naib Presiden Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) Datuk Ismail Md Noor kepada pemberita di sini, Rabu.

Ismail berkata pemilihan Bojan, yang berasal dari Croatia dan memiliki Lesen Kelas A Kesatuan Bola Sepak Eropah (UEFA), diputuskan oleh Jawatankuasa Pengurusan KAFA baru-baru ini.

"KAFA yakin Bojan mampu memperkasakan ARMY berdasarkan kepakaran dan pengalamannya selaku jurulatih," katanya.

Beliau berkata Bojan juga mengikat kontrak dua tahun dengan KAFA bagi membangunkan sukan bola sepak terutama di peringkat akar umbi.

ARMY, akademi di bawah KAFA, ditubuhkan bagi mencari bakat baru untuk dilatih menjadi pemain pelapis pasukan Kelantan.

Bojan pernah melatih My Team selama tiga tahun mulai 2006 sebelum berhijrah ke Phnom Penh Crown FC di Liga Kemboja selama enam bulan pada musim 2011-2012.

Pencapaian terbaik Bojan dalam bidang kejurulatihan ialah membantu kelab China, Shandong Luneng Taishan FC muncul sebagai naib juara Piala FA di negara berkenaan.

Sementara itu, Bojan gembira dapat menabur bakti dalam membangunkan sukan bola sepak di Kelantan.

Beliau akan menggunakan segala pengalaman yang dimiliki untuk membantu melahirkan lebih ramai bakat baharu sukan bola sepak di negeri ini. -BERNAMA

Artikel Lain