suria

32 Kelab Bertanding Dalam Liga Bawah 12 Tahun 1MCC

KUALA LUMPUR: Sejumlah 32 kelab bola sepak, termasuk dua dari Pulau Pinang dan satu dari Perak, akan berentap dalam Liga Bawah 12 Tahun 1Malaysia Cardiff City (1MCC) kali kedua di Sungai Buloh dekat sini mulai 3 Mac.

Pengerusi 1MCC dan Cardiff City Football Club (Holdings) Limited Datuk Chan Tien Ghee berkata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dijangka merasmikan liga itu di Institut Penyelidikan Getah Malaysia di Sungai Buloh pada 31 Mac.

Diiktiraf oleh Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), liga itu, yang sebelum ini dikenali sebagai Liga Bawah 12 Tahun Bola Sepak Remaja 1MCC (1MCC-JFL), akan menyaksikan 32 pasukan itu dibahagikan kepada dua kumpulan yang beraksi masing-masing dalam 15 perlawanan setiap hujung minggu di RRI dengan 16 pasukan (lapan daripada setiap kumpulan) bertarung dalam pertandingan kalah mati.

Juara akan membawa pulang hadiah wang tunai RM10,000 dan piala, naib johan (RM5,000 dan piala), tempat ketiga (RM1,500) dan keempat (RM1,000).

Chan berkata beliau sendiri akan mencari pemain berkebolehan daripada kejohanan itu untuk menjalani ujian percubaan di akademi kelab itu di Wales.

"Kejohanan ini bukan bertujuan memburu ganjaran kewangan semata-mata, sebaliknya untuk membangunkan kemahiran dan bola sepak di peringkat bawahan," katanya kepada pemberita selepas mesuarat pasukan pengurus liga di sini hari ini.

Sementara itu, pengarah operasi dan pertandingan 1MCC Gobi Nair berkata selain liga Bawah 12 Tahun, 1MCC akan menganjurkan liga Bawah 14 Tahun dari Mei hingga Julai ini dan liga Bawah 16 Tahun dari Oktober hingga Disember.

"Kami menjangkakan 28 pasukan tempatan akan mengambil bahagian dalam kedua-dua liga ini dan kami akan menghantar jemputan kepada kelab-kelab berkenaan, namun pilihan di tangan kami sama ada untuk menerima atau menolak penyertaan mereka," katanya.-BERNAMA

Artikel Lain