suria

Piala FA: Terengganu Tidak Mahu Ambil Risiko

KUALA TERENGGANU: Juara Piala FA musim lepas, Terengganu tidak akan mengambil risiko atau memandang rendah apabila bertemu Polis Diraja Malaysia (PDRM) dalam perlawanan pembukaan Piala FA di tempat sendiri malam esok.

Sebaliknya jurulatih Mat Zan Mat Aris menagih persembahan terbaik daripada anak buahnya agar misi untuk melangkah ke pusingan seterusnya menjadi kenyataan.

"Kita tidak sekali-kali boleh pandang remeh terhadap pasukan lawan ini. Kalau silap percaturan, kita boleh keluar awal. "Saya tidak mahu macam itu kerana saingan Piala FA adalah perlawanan kalah mati. Saya mahu mereka (pemain) sentiasa waspada," katanya kepada Bernama.

Mat Zan berkata Terengganu akan membariskan kesebelasan terbaik. "Namun kita juga akan membuat sedikit rombakan memandangkan ada pemain yang cedera dan ada dua pemain kita mewakili pasukan kebangsaan," katanya.

Mohd Muslim Ahmad dan Mohd Zubir Mohd Azmi akan mewakili skuad Olimpik menjelang aksi perlawanan Kumpulan C bagi kelayakan Zon Asia menentang Jepun di Stadium Nasional Bukit Jalil pada 22 Februari ini.

Dua tonggak pertahanan iaitu ketua pasukan, Mohd Marzuki Yusof dan Mohd Faizal Muhammad masing-masing mengalami kecederaan dan berkemungkinan besar tidak dapat diturunkan malam esok. -BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain