suria

Pahang Bakal Tubuh Akademi Sukan Lasak - Wan Adnan

KUANTAN: Pahang akan menubuhkan sebuah akademi sukan bagi mencungkil bakat dalam aktiviti sukan lasak di kalangan remaja serta belia negeri ini, kata Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan Pahang Datuk Wan Adnan Wan Mamat.

Beliau berkata penubuhan akademi itu sebagai usaha kerajaan negeri bagi menggalakkan remaja dan belia mengetengahkan kemahiran mereka dalam sukan lasak, sekaligus menghindarkan mereka daripada terlibat dengan gejala negatif seperti merempit.

"Kita lihat sukan ini semakin diminati golongan remaja, dan pada masa sama, ada bakat-bakat yang telahpun berjaya menduduki ranking dunia dalam sukan ini.

"Justeru, mereka ini diharap dapat menjadi tenaga pengajar supaya lebih ramai atlet profesional dalam sukan lasak dari negeri ini dapat dilahirkan," katanya kepada pemberita selepas merasmikan pertandingan sukan lasak basikal BMX dan papan luncur Beat My Trick di Pantai Teluk Cempedak, Sabtu.

Wan Adnan juga berkata penubuhan akademi itu akan mengambil kira maklum balas golongan belia dari setiap daerah menerusi satu pertandingan yang bakal diadakan.

"Kita akan buat pertandingan di setiap kampung bagi mencari bakat-bakat baru dan apabila dah cukup, dan maklum balas pun positif, baru kita tubuhkan akademi berkenaan," katanya.

Mengulas kemudahan sukan lasak di Pahang, beliau berkata kerajaan negeri telah menyediakan satu kawasan khas untuk aktiviti berkenaan di pejabat belia dan sukan negeri.

"Tinggal lagi kemudahan itu hanya boleh digunakan pada siang hari kerana tidak ada lampu, jadi lepas ini, kita akan pasang lampu supaya para peminat sukan ini dapat menggunakan kemudahan berkenaan pada waktu malam," katanya.

Wan Adnan juga meminta kerajaan pusat memberi perhatian kepada remaja dan belia yang berminat dalam sukan lasak agar bakat mereka boleh ditonjolkan ke peringkat lebih jauh.

Beat My Trick yang mempertandingkan acara basikal BMX dan papan luncur disertai seramai kira-kira 100 peminat sukan lasak dari seluruh negara. - BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain