suria

Kam Po Raih Emas Terakhir Kejohanan Berbasikal Asia

PUTRAJAYA: Pemenang pingat emas acara lebuh raya Sukan Asia Guangzhou 2010, Wong Kam Po dari Hong Kong meraih pingat emas terakhir yang ditawarkan pada Kejohanan Berbasikal Asia ke-32 dan Kejohanan Berbasikal Remaja Asia ke-19 di sini, Sabtu.

Pelumba berusia 38 tahun itu mencatat masa 4 jam 10 minit dan 33 saat dalam acara lebuh raya individu.

Pingat perak menjadi milik pelumba Iran, Mehdi Sohrabi, yang juga pelumba terbaik Asia 2011 dan pingat gangsa menjadi milik Taiji Nishitani dari Jepun.

Sementara pelumba negara, Mohd Zamri Salleh menamatkan saingan di tempat keempat selepas menamatkan saingan dalam kelompok lima pelumba pendahulu.

"Sasaran saya adalah untuk mencuba mendapatkan kemenangan podium tetapi masa melakukan breakaway (pecahan) tadi, bersama saya semuanya adalah pakar pecut...Taiji (Nishitani), Wong Kam Po dan Mehdi (Sohrabi). Saya bukan pakar pecut," katanya kepada pemberita selepas acara itu.

"Saya sudah mencuba sedaya upaya. Saya sudah kerah seluruh tenaga tetapi saya tahu untuk mendapatkan kemenangan podium memang susah. Dapat tempat keempat pun sudah baik untuk saya," kata pelumba berusia 28 tahun dari Terengganu.

Menurut Mohd Zamri, yang juga juara keseluruhan Kejohanan Sirkit Grand Prix Kebangsaan 2011, tumpuannya kini terarah kepada perlumbaan jelajah Le Tour de Langkawi (LTdL) yang akan bermula 24 Feb ini.

"Persiapan telah dibuat bersama-sama TSG (Terengganu Cycling Team). Pada LTdL kali ini agak sukar untuk mendapatkan jersi tapi untuk mendapatkan kemenangan peringkat, Insyaallah saya akan cuba," katanya.

Adiknya, Mohd Harrif ketinggalan 32 saat di belakang kelompok pendahulu dengan mencatat masa 4:11:05s untuk berada di tempat ke-12, manakala Amir Mustafa Rusli di tempat ke-43 (4:11:13s) dan Mohd Akmal Amrun di tempat ke-51 (4:23:18s) daripada 70 pelumba yang mengambil bahagian.

Seramai 16 pelumba tidak dapat menamatkan saingan dan pelumba Kazakhstan, Dmitriy Gruzdev telah dibatalkan penyertaannya kerana berpaut pada kenderaan pasukannya.

Akibat daripada tindakannya itu beliau telah didenda sebanyak CHF200 (RM662), manakala pengurusnya turut didenda CHF100 (RM331) mengikut peraturan Kesatuan Berbasikal Dunia (UCI). - BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain