suria

Ujian Doping: PABM Minta Firdaus Ikut Prosedur Bela Diri

KUALA LUMPUR: Persatuan Angkat Berat Malaysia (PABM)meminta atletnya Firdaus Abdul Razak mengikut prosedur dan saluran betul dalam melakukan pembelaan ke atas dirinya apabila disahkan postif dalam ujian doping.

Presiden PABM Zafarul Akbar Kassim berkata persatuan faham Firdaus berada dalam situasi kecewa dan tertekan namun adalah tidak wajar jika beliau membelakangkan persatuan dan membuat tuduhan terbuka.

"Kita telah menubuhkan jawatankuasa penyiasat yang dianggotai tiga wakil PABM dan masing-masing satu wakil dari Majlis Sukan Negara, Institut Sukan Negara) dan Majlis Olimpik Malaysia bagi menjamin ketelusan dalam siasatan. "Firdaus sepatutnya mengemukakan bukti beliau tidak bersalah kepada jawatankuasa tersebut dan bukannya membuat kenyataan terbuka," katanya kepada Bernama ketika diminta mengulas mengenai dakwaan atlet berasal dari Kedah itu kononnya beliau dipaksa oleh jurulatih mengambil dua ubat kapsul berwarna putih ketika menjalani latihan persiapan di China sebelum beraksi di Sukan SEA Indonesia pada November lepas.

Zafarul Akbar berkata jawatankuasa penyiasat PABM sedia mendengar penjelasan Firdaus dan beliau dibenarkan membawa saksi bersama sebagai bukti.

Beliau meminta Firdaus agar tidak lagi mengeluarkan kenyataan secara terbuka sebaliknya memberi keterangan apabila dipanggil pada minggu depan.

Ketua jurulatih angkat berat negara, Lin Xin Hui pula menolak dakwaan Firdaus yang disifatkannya sebagai tidak berasas.

Lin memberitahu Bernama bahawa Firdaus perlu bercakap benar serta tidak menuding jari kepada orang lain akibat daripada kesalahan sendiri.

"Jika benar dakwaan Firdaus, kenapa atlet lain tidak sangkut ketika ujian anti-doping? "Lagipun Firdaus bukan dapat pingat emas pun tetapi hanya pingat gangsa sahaja.

"Beliau tidak sepatutnya buat tuduhan tidak berasas kepada jurulatih kerana ianya bakal menjejaskan tumpuan latihan atlet juga," katanya. -BERNAMA

Artikel Berikut

AC Milan Benam Arsenal 4-0

Artikel Lain