suria

MOM Tidak Tanggung Kos Penyertaan Atlet Ke Sukai Pantai Asia

KUALA LUMPUR: Sebanyak lima persatuan sukan kebangsaan telah menunjukkan minat untuk menyertai edisi ketiga Sukan Pantai Asia di Haiyang, China, pada Jun ini.

Lima perasatuan tersebut ialah Persatuan Bola Tampar Malaysia (MAVA), Persekutuan Ski Air dan Papan Luncur Malaysia (MWWF), Persatuan Kapal Layar Malaysia (MYA), Persatuan Woodball Malaysia (MWA) dan Persatuan Luncur Udara Malaysia (PLUM).

Setiausaha Kehormat Majlis Olimpik Malaysia (MOM) Datuk Sieh Kok Chi berkata pihaknya tidak akan menanggung kos penyertaan atlet ke sukan dwitahunan itu dari 16 hingga 22 Jun ini kerana temasya itu bukan merupakaan keutamaan MOM.

"Persatuan sukan tersebut sebaliknya akan menanggung perbelanjaan semua atlet mereka dan sekiranya mereka memenangi pingat, kita tidak akan membayar semula kos terbabit kerana keutamaan kita lebih kepada Sukan Olimpik dan Sukan Asia," katanya kepada Bernama, kepada Jumaat.

Sieh berkata persatuan sukan lain masih boleh menghantar penyertaan mereka kepada MOM memandangkan tarikh tutup pendaftaran pada 16 Mei depan.

Sebanyak 13 acara sukan dijangka dipertandingkan di China seperti bola keranjang pantai, perlumbaan perahu naga dan bola sepak pantai melibatkan penyertaan 45 buah negara rantau Asia pada edisi kali ini.

Malaysia pernah menyertai temasya sukan tersebut dalam dua edisi terdahulu iaitu di Bali, Indonesia pada 2008 dan Muscat, Oman pada 2010.

Pada 2008, skuad negara hanya menghantar dua penyertaan iaitu woodball dan bola tampar pantai sebelum ditukar kepada empat sukan lain iaitu bina badan, kapal layar, ski air dan kabbadi pada 2010.

Edisi keempat temasya sukan itu akan diadakan di Phuket, Thailand pada 2014. -BERNAMA

Artikel Berikut

AC Milan Benam Arsenal 4-0

Artikel Lain