suria

LTDL 2012: 21 Pasukan Sah Penyertaan

KUALA LUMPUR: Sejumlah 21 pasukan terdiri daripada dua pasukan berstatus Pro-Tour, tujuh profesional, sembilan benua dan tiga pasukan kebangsaan telah mengesahkan penyertaan pada perlumbaan jelajah Le Tour de Langkawi (LTdL) 2012.

Dua pasukan Pro-Tour ialah Astana dari Kazakhstan dan Garmin Barracuda dari Amerika Syarikat manakala tiga pasukan kebangsaan ialah Malaysia, New Zealand dan Indonesia.

Perlumbaan LTdL edisi ke-17 tahun ini akan bermula dari 24 Feb hingga 4 Mac ini.

Menurut kenyataan LTdL, mulai tahun ini, juara keseluruhan bukan sahaja dinobatkan dengan tradisi jersi kuning tetapi juga dapat merangkul Piala Cabaran LTdL.

"Piala itu akan dijulang oleh juara keseluruhan LTdL pada hari terakhir perlumbaan," kata Ketua Setiausaha Kementerian Belia dan Sukan, Datuk Mohid Mohamed ketika memperkenalkan piala itu, di sini, Jumaat. Reka bentuk piala adalah berupa Tugu Lang di Dataran Helang, sebuah mercu tanda Pulau Langkawi.

Ia juga sebagai penghormatan kepada bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad yang membuat sumbangan besar kepada perkembangan perlumbaan sukan berbasikal itu, katanya.

LTdL 2012, yang memiliki status 2HC (Hors Classe), dianjurkan oleh Majlis Sukan Negara (MSN) dengan kerjasama Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM).

Perlumbaan 10 hari itu akan bermula padda 24 Feb ini dengan acara individu ujian masa sejauh 20.3km mengelilingi Putrajaya diikuti peringkat kedua dari Putrajaya ke Melaka sejauh 151km.

Peringkat seterusnya ialah dari Ayer Keroh ke Parit Sulong (187.6km), Batu Pahat- Muar (169.4km), Ayer Keroh-Pandan Indah (190km), Proton Shah Alam-Genting Highlands (108km), Bentong-Kuantan (205.8km), Pekan-Chukai (100.8km), Kemasik-Kuala Terengganu (165.7km) dan Tasik Kenyir-Kuala Terengganu (114.8km). -BERNAMA

Artikel Berikut

AC Milan Benam Arsenal 4-0

Artikel Lain