suria

Kejohanan Berbasikal Remaja Asia: Pelumba Negara Gagal Menyerlah

PUTRAJAYA: Pelumba remaja negara gagal menyerlah pada acara lebuh raya individu Kejohanan Berbasikal Remaja Asia ke-19 yang berlangsung di sini.

Kejohanan Berbasikal Remaja Asia dijalankan serentak dengan Kejohanan Berbasikal Asia ke-32 yang memasuki hari kelapan, Khamis.

Pada perlumbaan hari ini, kebanyakan pelumba adalah juga pelumba trek dan pernah menyumbangkan beberapa pingat kepada negara dalam kejohanan sebelum ini.

"Kita mengharapkan dua pelumba pecut kita (Muhammad Firdaus Suardi dan Malek Marcus McCrone) untuk cuba memberi saingan pada garisan penamat kerana kita menjangkakan akan berlaku pecutan berkumpulan ketika menuju garisan penamat.

"Malangnya kedua-dua mereka mengalami kemalangan beberapa pusingan sebelum menamatkan saingan," kata jurulatih skuad remaja negara Suod Hussain.

Pada perlumbaan sejauh 115.2km yang melibatkan sembilan pusingan, Muhammad Firdaus mengalami kemalangan selepas menamatkan dua pusingan manakala Malek Marcus pula mengalami keadaan yang sama pada pusingan ketujuh.

Sementara itu, Ahmad Firdaus Abdul Karim dan Low Jin Ming, masing-masing menamatkan saingan di tempat ke-30 dan 31 dengan masa 2 jam 45 minit dan 48 saat yang tiba di garisan penamat dalam kelompok pendahulu.

Acara lebuh raya individu lelaki remaja itu dikuasai dua pelumba Jepun Hiroki Nishimura dan Yuri Kobashi, manakala Leung Chun Wing dari Hong Kong meraih pingat gangsa.

Dalam kategori remaja perempuan, Nor Azian Maslin Sazali menjadi pelumba terbaik Malaysia selepas menamatkan saingan di tempat ke-13 dengan catatan masa 2:22:12s.

Tiga rakan sepasukannya, Lauretta Eva Adrian di tempat ke-18, manakala Nurul Nadia Mohamad Fauzi (19) dan Ummi Hamimah Mohamad (24).

Ketika ditanya mengapa menggunakan pelumba-pelumba trek, Suod berkata, kesemua pelumba remaja yang mengambil bahagian pernah berlumba dalam acara lebuh raya.

"Buat masa ini kita tidak mempunyai kelompok pelumba lebuh raya dalam peringkat usia bawah 20 tahun. Sebagai usaha untuk mengembangkan pengalaman pelumba dengan perlumbaan kompetitif, kami telah kenal pasti beberapa perlumbaan dalam dan luar negara," katanya.

Antara kejohanan yang akan menjadi tumpuan ialah siri Kejohanan Grand Prix Kebangsaan, Kejohanan Berbasikal SportExcel, Jelajah Vietnam (untuk pelumba perempuan) serta Jelajah Thailand dan Jelajah Mazandaran di Iran (untuk pelumba lelaki). - BERNAMA

Artikel Sebelum

Zulfahmi Duduki Tangga 10 Teratas

Artikel Lain