suria

Skuad Berbasikal Lebuh Raya Giat Jalani Persiapan LTdL 2012

KUALA LUMPUR: Skuad berbasikal lebuh raya negara kini giat menjalani latihan fasa akhir di Bangi, Selangor sebagai persiapan menghadapi kejohanan berbasikal berprestij, Le Tour de Langkawi 2012 (LTdl 2012) dari 24 Feb sehingga 4 Mac ini.

Jurulatih skuad lebuh raya negara Syed Muhammad Hussaini Syed Mazlan berkata latihan fasa akhir itu penting kepada sembilan pelumba negara termasuk tiga pelumba simpanan ekoran persaingan sengit yang bakal diterima mereka daripada beberapa pasukan profesional luar negara.

Sembilan pelumba itu ialah Mohd Nor Rizuan Zainal, Muhammad Fauzan Ahmad Lutfi, Amir Mustafa Rusli, Muhamad Rauf Nur Misbah, Suhardi Hassan dan Ahmad Falanie Ali sementara tiga pelumba simpanan ialah Mohd Nazri Muhamad, Akmal Amrun dan Ahmad Fakhrullah Alias.

"Semua pelumba basikal lebuh raya negara kini berada dalam keadaan terbaik dan mereka memberikan fokus sepenuhnya dalam latihan yang diatur," katanya. Syed Muhammad Hussaini berkata beliau telah menyusun beberapa program latihan khusus untuk menghadapi kejohanan berbasikal tahunan itu.

Mengenai sasaran untuk skuad tersebut, beliau berharap anak didiknya dapat menduduki 10 tangga teratas dalam kategori pelumba Asia.

Pelumba berbasikal veteran negara, Suhardi Hassan berkata beliau berjanji akan memberikan persembahan terbaik pada penyertaan kesembilannya dalam kejohanan berkenaan.

"Saya berharap melalui program latihan yang diatur jurulatih (Syed Muhammad Hussaini) serta pengalaman sepanjang penyertaan dalam kejohanan ini akan membolehkan skuad negara merangkul kejayaan," katanya.

Beliau bagaimanapun berkata kemasukan semula beberapa pasukan lama seperti Astana dari Kazakhstan dan Garmin-Slipstream dari Amerika Syarikat mampu menggugat peluang negara untuk merangkul lebih banyak kejayaan.

"Sebelum ini pelumba dari Korea, Iran, Jepun dan Hong Kong mampu mencabar skuad kita namun saya lihat dua pasukan ini mampu beri saingan sengit kepada kita berdasarkan beberapa pencapaian yang diraih oleh pelumba mereka dalam beberapa kejohanan berbasikal elit," katanya.

LTdL 2012 mengekalkan status 2.HC (Hors Classe) dan mendapat pengiktirafan daripada Kesatuan Berbasikal Antarabangsa (UCI) serta UCI Asia Tour.

Kejohanan anjuran Majlis Sukan Negara (MSN) dengan kerjasama Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM) dari 24 Feb hingga 4 Mac ini akan melibatkan 10 peringkat perlumbaan sejauh 1,415.5 km.- BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain