suria

Selangor Calar Rekod Tanpa Kalah Kelantan

KUALA LUMPUR: Pendahulu Liga Super, Kelantan gagal mempertahankan rekod tanpa kalah selepas tewas 1-2 kepada Selangor di Stadium Nasional Bukit Jalil, malam Selasa.

Walaupun gagal mengutip tiga mata pada perlawanan kelapan, pasukan 'The Red Warrior' masih mendahului kedudukan carta liga dengan kutipan 17 mata, iaitu dua mata di depan pencabar utama, Perak.

Pemain pasukan Selangor seolah mendapat nafas baru bermain secara teratur apabila Safiq Rahim menjaringkan gol pertama menerusi rembatan deras pada minit ke-47 diikuti jaringan pendatang baru Selangor Basko Balaban pada minit ke-75.

Gol saguhati Kelantan dijaringkan S.Subramaniam pada minit ke-92.

Perak yang menduduki tangga kedua carta liga pula tumpas 1-2 kepada Lions XII di Stadium Perak, Ipoh.

Gol pasukan Lions XII dijaringkan Mohd Sharil Ishak pada minit ke-17 dan Shaiful Esah pada minit ke-75, manakala gol saguhati Perak disumbangkan Michal Kubala pada minit ke-54 menerusi sepakan penalti.

Sementara itu, T-Team mengalahkan Felda United 3-0 di Stadium Hang Jebat, Melaka.

Gol T-Team dijaringkan Mohd Faiz Subri pada minit-31 dan 69 mankala Zairo Anuar melengkapkan kemenangan dengan gol ketiga pada minit ke-84.

Di Stadium Likas, Sabah, pasukan tuan rumah dengan mudah menewaskan pasukan tercorot, Kuala Lumpur 2-0 hasil jaringan Mohd Rozaimi Abdul Rahman pada minit ke-36 dan Michael William Bird (minit ke-46).

Johor FC pula tumpas 1-2 kepada Sarawak di Stadium Majlis Perbandaran Pasir Gudang, Johor.

Gol tuan rumah dijaringkan Arthur Henrique pada minit ke-21, manakala gol Sarawak dijaringkan Guy Bwele (minit ke-33) dan Mohd Azizan Baba (minit ke-74).

Selangor PKNS mencatat keputusan seri 1-1 ketika bertemu Negeri Sembilan di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi, manakala Terengganu juga seri 1-1 dengan Kedah di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain