suria

Pemain Badminton Wanita Negara Jinakkan India 3-2

KUALA LUMPUR: Malaysia menempah tiket ke suku akhir selepas menjinakkan India 3-2 dalam perlawanan Kumpulan W kelayakan Piala Uber Zon Asia di Macau, Selasa.

Pasangan regu wanita terbaik Malaysia, Wong Pei Tty dan Chin Eei Hui mempamerkan aksi cemerlang bagi mencuri satu mata daripada pasangan Jwala Gutta dan Ashwini Ponnappa 21-12, 21-16 manakala pasangan kedua negara, Vivian Hoo dan Goh Liu Ying berjaya menewaskan beregu India, Pradya Gadre dan Prajakta Sawant 21-17, 21-17.

Pemain perseorangan ketiga negara Yang Li Lian pula dipaksa bekerja keras bagi memastikan kemenangan Malaysia untuk menewaskan Sayali Gokhale 21-11, 15-21 dan 20-22 dalam tempoh 56 minit.

Menepati ramalan, pemain perseorangan nombor empat dunia Saina Nehwal dengan mudah menewaskan pemain negara Tee Jing Yi 21-17,21-16 dalam masa 34 minit.

Sementara itu, Sindhu P. V. menumpaskan perseorangan kedua Malaysia, Lydia Cheah 16-21, 21-13 dan 21-9.

Pada perlawanan pembukaan, Isnin, Malaysia tewas 1-4 kepada China.

Hanya empat tempat diperuntukkan bagi pusingan kelayakan Zon Asia yang mempunyai empat kumpulan.

Dua pasukan di kedudukan teratas dalam setiap kumpulan akan mara ke suku akhir.

Empat negara yang tewas pada suku akhir akan bermain dalam 'round-robin play-off' bagi menentukan pasukan terakhir yang layak mara ke pusingan berikutnya.

Perlawanan akhir Piala Thomas dan Uber akan berlangsung di Wuhan, China mulai 20 hingga 27 Mei. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain