suria

Kerajaan Terengganu Promosi Kejohanan Lumba Basikal LTDL

KUALA TERENGGANU: Kerajaan negeri Terengganu kini mengadakan kempen kejohanan lumba basikal Le Tour de Langkawi (LTdL) secara besar-besaran bagi menarik minat rakyat menyaksikan kejohanan berbasikal itu.

Pengarah Majlis Sukan Negeri (MSN) Terengganu Zainal Abidin Hussin berkata kempen kejohanan lumba basikal terunggul di Malaysia itu diadakan melalui program konvoi berbasikal ke daerah-daerah bermula Sabtu.

"Program empat hari itu akan diadakan dari daerah ke daerah dengan pelbagai aktiviti seperti pertunjukan basikal cantik dan sebagainya," katanya kepada pemberita selepas majlis pelancaran program bulan berbasikal Terengganu 2012 di sini.

Zainal Abidin berkata fokus MSN ialah untuk mempromosi LTdL terutamanya pasukan benua, Terengganu Cycling Team (TSG) yang turut mengambil bahagian dalam kejohanan itu.

Katanya kerajaan negeri membelanjakan kira-kira RM1 juta untuk menaja kejohanan itu di mana tiga peringkat termasuk penamat perlumbaan adalah di bandar ini.

Program promosi LTdL hari ini bermula dari Dataran Shahbandar di sini, ke Hulu Terengganu dengan disertai lebih 100 peserta, diikuti daerah Marang (Khamis), Dungun (Jumaat), Setiu (Sabtu) dan Besut (Ahad).

Sementara itu, di Kuala Berang, Hulu Terengganu, kira-kira 600 peserta konvoi berbasikal menyambut kedatangan konvoi dari Kuala Terengganu di Padang Astaka, diikuti pameran basikal cantik. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain