suria

Nadal Kecewa Kempen Di Perancis, Malukan Atlet Sepanyol

BINTANG tenis nombor dua dunia, Rafael Nadal (gambar) menyelar tindakan kempen umum di Perancis yang menggambarkan atlet-atlet Sepanyol menggunakan dadah untuk mencapai kejayaan sekali gus menjatuhkan maruah semua atlet negaranya.

Nadal membuat kenyataan selepas Persekutuan Tenis Sepanyol (RFET) menegaskan akan menyaman stesen televisyen Perancis, Canal+ yang menyiarkan iklan animasi yang berkaitan Nadal dan ia dianggap sebagai tidak boleh diterima serta merosakkan nama baik atlet mereka.

“Saya rasa jika iklan itu disiarkan hanya sehari ia tidak mengapa, tetapi mereka telah menayangkan berulang kali dan itu tidak sepatutnya berlaku, ia sudah melampaui batas.

“Saya juga tidak rasa hanya satu media sahaja terlibat, ia adalah kempen umum di negara jiran itu,” jelas Nadal selepas menjalani latihan di Pulau Manacor.

Juara enam kali Terbuka Perancis ini menganggap kempen tersebut amat memalukan, lebih-lebih segala pencapaian selama ini memerlukan kos yang tinggi.

“Saya sangat sedih melihat kempen ini. Saya boleh tekankan kepada kamu bahawa tidak perlu ada soalan mengenai picagari, pil atau lain-lain,” tambahnya.

Stesen TV Canal+ menyiarkan ‘Les Guignols’ atau ‘The Puppet’ yang menggambarkan Nadal berhenti di pam minyak dan mengisi tangki minyak keretanya dengan air kencing sebelum ditahan pihak polis kerana memandu dalam keadaan laju.

Dan selepas itu turut menyiarkan perkataan “Atlet Sepanyol. Mereka tidak boleh menang secara kebetulan” bersama logo RFET dan beberapa lagi logo persatuan lain termasuk bola sepak dan basikal.

RFET berkata, pihaknya akan menyaman penyiar itu yang dilaporkan sengaja ‘menyerang’ Nadal serta menggunakan logo tanpa kebenaran.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain