suria

Sebelas Pelumba TSG Sambung Kontrak Musim 2012

KUALA TERENGGANU: Pengendali pasukan lumba basikal profesional Terengganu, Terengganu Pro Asia Cycling Team (TPCT) yang menguruskan Terengganu Cycling Team (TSG) telah menyambung kontrak lapan pelumba tempatan dan tiga pelumba luar negara untuk musim 2012.

Menteri Besar Datuk Seri Ahmad Said berkata pelumba tempatan yang tidak bersama pasukan TSG musim ini ialah Anuar Manan yang berhijrah ke pasukan divisyen dua Champion System yang berpangkalan di Hong Kong.

"Motoi Nara pelumba dari Jepun juga tidak menyertai pasukan TSG musim ini," katanya kepada pemberita selepas majlis pelancaran pasukan TSG musim 2012 di sini, Khamis.

Beliau berkata pelumba tempatan yang akan mewakili TSG tahun ini ialah Mohd Hariff Saleh, Mohd Shahrul Mat Amin, Yusrizal Usoff, Mohammad Saufi Mat Senan, Muhamad Faiz Syarifuddin Abd Kadir, Muhammad Shobry Abdullah, Mohd Nor Umardi Rosli dan Nur Amirull Fakhruddin Mazuki.

Tiga pelumba luar negara yang masih bersama pasukan TSG ialah Shinichi Fukushima dari Jepun, Jang Chan Jae dan Kim Do Hyoung dari Korea, katanya.

Ahmad berkata dua pelumba baru yang berasal dari Terengganu untuk memperkuatkan pasukan TSG tahun ini ialah Mohd Zamri Saleh, daripada Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Mohd Saifu Anuar Aziz.

Katanya TPCT telah mengambil jurulatih import berpengalaman dari Itali iaitu Sebastien Ducios bagi memantapkan lagi pasukan TSG menghadapi pelbagai kejohanan musim ini.

Beliau berkata cabaran pertama yang akan dihadapi pasukan TSG tahun ini ialah kejohanan lumba basikal Le Tour de Langkawi (LTdL) yang akan bermula dari 24 Februari hingga 3 Mac ini.

"Sasaran TSG bagi LTdL 2012 sekurang-kurangnya pelumba TSG dapat menaiki podium tempat pertama," katanya.

Bagi persiapan TSG ke LTdL khasnya dan perlumbaan di bawah kalendar UCI amnya, TSG telah menjalani latihan intensif di Terengganu dan mengadakan kem latihan di Chiang Rai, Thailand bermula 3 Jan hingga 6 Feb lalu.

Ahmad berkata sebanyak 19 kejohanan luar negara dan 13 kejohanan dalam negara dalam kalendar 2012 disenaraikan untuk disertai TSG.

Kedudukan TSG bagi 2012 dalam UCI Asia Tour ialah pada ranking pertama daripada 23 pasukan dan meletakkan Malaysia pada kedudukan kedua selepas Jepun dengan 105 mata.

Beliau berkata bagi mencapai hasrat memasuki divisyen 2 pro-benua, anggaran sebanyak RM6 juta setahun diperlukan manakala bagi divisyen satu pro-tour lebih kurang RM10 juta diperlukan.

Katanya TSG menyertai 27 kejohanan sepanjang tahun lepas iaitu 13 kejohanan luar negara manakala 14 peringkat tempatan.

Bagi tujuan promosi TSG, Ahmad berkata satu-satunya majalah Bahasa Malaysia iaitu Roda Pantas telah menyediakan satu ruang kepada TSG setiap bulan untuk memuatkan berita dan gambar TSG.

Selain itu, majalah Asia Cycling juga memuatkan berita TSG bagi pasaran Asia, katanya.-BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain