suria

Giliran Pelumba Muda Ceriakan Kem Malaysia

KUALA LUMPUR: Kecemerlangan pelumba elit diteruskan oleh pelumba-pelumba remaja apabila meraih satu pingat perak dan dua gangsa pada Kejohanan Berbasikal Asia (ACC) ke-32 dan Kejohanan Berbasikal Remaja Asia ke-19 di sini, malam Khamis.

Pada sesi pagi tadi, Muhammad Edrus Md Yunos menyumbang pingat emas pertama Malaysia menerusi acara 1km ujian masa lelaki elit dan diikuti Fatehah Mustapa yang meraih gangsa dalam acara 500m ujian masa wanita elit.

Kem Malaysia diceriakan lagi dengan kilauan satu perak melalui Noor Azian Maslin Sazali melalui acara Scratch remaja perempuan dan dua gangsa oleh Muhammad Firdaus Suardi dalam acara Scratch remaja lelaki dan gandingan Lauretta Eva Andrian dan Umni Hamimah Mohamad dalam acara pecut berpasukan remaja perempuan.

Bagaimanapun, keputusan rasmi bagi acara pecut berpasukan remaja perempuan hanya akan dikeluarkan esok.

"Saya tidak sangka dapat pingat perak sebab saya hanya sasar pingat gangsa. Ini adalah pencapaian terbaik saya mewakili negara," kata Noor Azian ketika ditemui di Velodrom Kuala Lumpur, Cheras, malam Khamis. Menurutnya saingan sememangnya sengit terutama daripada pelumba Hong Kong, Korea Selatan, Thailand dan Kazakhstan.

Sementara itu, Azizulhasni Awang dan Fatehah masing-masing melayakkan diri ke peringkat akhir acara pecut kategori elit.

Azizulhasni terdahulu menewaskan Seiichiro Nakagawa dari Jepun pada peringkat suku akhir dan kemudiannya menewaskan Zhang Lei dari China pada saingan separuh akhir.

Beliau akan bertemu seorang lagi pelumba Jepun, Kazunari Watanabe pada peringkat akhir esok.

Mengulas pertemuan menentang jaguh Jepun itu, Azizulhasni menganggapnya sebagai perlumbaan penting bagi dirinya. "Untuk pertemuan esok, saya boleh katakan peluang adalah 50-50. Bagaimanapun, saya mahu memberi yang terbaik di depan penyokong sendiri," katanya.

Kali terakhir dua pelumba itu bertemu di ACC, Sharjah, Emiriyah Arab Bersatu dua tahun lepas yang menyaksikan kemenangan berpihak kepada Watanabe.

Bagi acara elit wanita pula, Fatehah akan bertemu Lee Wai Sze dari Hong Kong pada perlumbaan peringkat akhir.

Pada saingan separuh akhir, Fatehah yang menewaskan Xu Yulie pada peringkat suku akhir kemudiannya menewaskan Kayono Maeda untuk menempah tempat di peringkat akhir.

Beberapa acara akhir yang sepatutnya berlangsung malam ini terpaksa dibatalkan disebabkan hujan lebat dan akan bersambung esok. -BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain