suria

PKBM Yakin Prestasi Pelumba Negara Kutip Mata Ke Olimpik

KUALA LUMPUR: Persatuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM) yakin prestasi pelumba negara dalam misi mengutip mata kelayakkan Olimpik London tidak akan terjejas walaupun terpaksa menyertai dua kejohanan dalam masa yang terdekat.

Timbalan Presidennya, Datuk Naim Mohamad berkata beliau yakin dengan latihan dan persiapan pelumba negara AzizulHasni Awang, Josiah Ng dan Fatihah Mustaffa bagi menghadapi Kejohanan Lumba Basikal Asian ke-32, Malaysia 2012 (ACC) dan siri Piala Dunia Klasik di London, England.

"Azizulhasni, Josiah dan Fatihah tidak menyertai siri Piala Dunia Klasik Beijing pada 13 Jan lepas disebabkan kita menumpukan latihan dan persiapan untuk mereka bagi ACC dan siri dunia di London 13 Februari ini.

"Jarang kita lihat ada atlet mampu menyerlah dalam dua kejohanan dalam tempoh masa yang singkat tetapi kita harap dengan latihan dan pemantauan ketua jurulatih negara, John Beasley, mereka mampu memberikan sesuatu," katanya Kejohanan Lumba Basikal Asian ke-32 akan berlansung di Velodrom Kuala Lumpur, Cheras dari 7 hingga 18 Feb ini.

Beliau yang juga pengurus pasukan negara bagi ACC 2012 berkata pihaknya kini lebih menumpukan untuk mengutip mata acara sprint lelaki setelah dua pelumba negara bagi acara keirin lelaki dan wanita sah akan ke Olimpik London.

"Kita harap dapat menghantar tiga pelumba ke Olimpik tetapi nama mereka hanya akan diumumkan selepas Kejohanan Basikal Dunia di Melbourne, Australia tamat April ini.

"Bagi pelumba lebuhraya negara, dua wakil negara ke Olimpik London sudah terjamin dan saya telah dimaklumkan sejak September tahun lepas lagi namun nama mereka hanya akan diberitahu kepada media selepas Kejohanan Jejalah Malaysia pada 8 hingga 13 Mei.

ACC 2012 edisi ke-32 merupakan kali ke-5 diadakan di Malaysia sejak 1963 (Kuala Lumpur), 1979 (Kuala Lumpur), 1993 (Ipoh) dan 2006 (Kuala Lumpur) dan pada tahun ini ia melibatkan 217 pelumba dari 18 buah negara akan menyertai acara trek manakala 297 pelumba dari 26 negara akan menyertai acara lebuhraya.-BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Jadual Liga Perdana, Selasa

Artikel Lain