suria

Timbalan Presiden KOM Buat Laporan Polis Terima Ugutan

KUALA LUMPUR: Timbalan Presiden Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM), Datuk Karim Ibrahim hari ini membuat laporan polis mendakwa menerima ugutan berhubung isu penggantungan ketua jurulatih olahraga Harun Rasheed.

Katanya beliau menerima panggilan telefon daripada seorang lelaki yang mendakwa bernama Azman yang marah kerana beliau tidak membela Harun apabila ketua jurulatih itu dikenakan tindakan.

"Saya menerima panggilan pada pukul 10.20 malam semalam (Jumaat)... saya jelaskan saya tidak ada kena mengena dengan keputusan (penggantungan) itu, (tapi) dia (Azman) tetap meninggikan suara dan menyatakan 'I will teach you when the time come'," katanya kepada Bernama, di sini, Sabtu.

Karim berkata beliau membuat laporan itu di Balai Polis Gombak pada 5.20 petang selepas bimbang dengan keselamatan dirinya.

Pada Majlis Mesyuarat Ahli Majlis KOM yang lepas, Presiden KOM Datuk Seri Shahidan Kassim menyatakan Harun bukan sahaja meletakkan jawatan tetapi turut dikenakan penggantungan oleh KOM kerana dikatakan bersubahat bersama enam atlet lain melarikan diri daripada menjalani ujian anti-doping di Institut Sukan Negara (ISN) tahun lepas.

Bagaimanapun, Harun dilapor sebuah akhbar hari ini sebagai menafikan bahawa beliau adalah dalang di sebalik kes itu.

Enam atlet tersebut ialah bekas kuartet 4x100 meter negara, Siti Zubaidah Adabi, Siti Fatimah Mohammad, Yee Ye Ling, Nurul Sarah Abdul Kadir serta Norjannah Hafiszah Jamaludin dan atlet pecut 100m lelaki, Mohammad Noor Imran Abdul Hadi. - BERNAMA

Artikel Lain