suria

Terengganu Pertaruhkan Dua Petinju Pelapis Kebangsaan Untuk Sukma

KUALA TERENGGANU: Dua peninju berbakat dari pasukan pelapis Malaysia akan dipertaruhkan oleh Terengganu dalam kejohanan tinju Sukan Malaysia (Sukma) di Kuantan, Pahang Julai depan.

Setiausaha Persatuan Tinju Amatur Terengganu Razali Mamat berkata dengan kehadiran kedua-dua petinju yang berasal dari Besut itu membolehkan Terengganu menghantar pasukan penuh ke kejohanan itu dan memenangi pingat emas.

Katanya dua petinju itu ialah Mohd Hakim Hafizuddin bagi kategori 46 kilogram dan Mohd Shahrulnizam Mohd Ali kategori 60 kilogram.

Razali berkata kedua-dua petinju itu baru diserapkan ke pasukan pelapis kebangsaan tahun ini setelah mengikuti latihan di pusat tinju serantau di Stadium Larkin Johor tahun lepas.

Beliau berkata Persatuan Tinju Malaysia (PTM) telah mengesan bakat kedua-dua petinju itu melalui beberapa kejohanan di peringkat sekolah atau remaja.

Katanya rancangan Terengganu untuk menghantar kedua-dua petinju itu berlatih di Sekolah Sukan Trang, dekat Hatyai Thailand bulan depan tidak dilepaskan oleh PTM.

"Kedua-dua petinju akan dilepaskan sebulan sebelum Sukma bermula," katanya.

Justeru, Razali berkata Terengganu akan menghantar seramai tujuh petinju untuk berlatih di sekolah sukan berkenaan selama sebulan awal Mac ini sebagai persiapan menghadapi Sukma.

Sementara itu, katanya Terengganu juga menghantar empat petinju menyertai kejohanan tinju terbuka di Jitra Kedah selama lima hari bermula Sabtu.

Razali berkata Terengganu menghantar peserta bagi kategori 52, 64, 75 dan 81 kilogram sebagai satu latihan dan pendedahan. - BERNAMA

Artikel Lain